Anda di sini

Atlet paralimpik negara cetus inspirasi kepada atlet normal untuk terus berjuang

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kontinjen Malaysia yang beraksi di Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil baru-baru ini, membuktikan bahawa kekurangan bukan penghalang bagi mereka mencipta sejarah dengan memenangi tiga pingat emas dan satu gangsa.

Ketua kontinjen Malaysia (CDM) ke temasya itu, Dr Ang Kean Koo memberitahu Bernama, pencapaian atlet paralimpik telah memberi inspirasi kepada atlet normal untuk terus berjuang bagi mencapai impian masingmasing.

“Secara peribadi sebagai CDM, saya amat berbangga dan gembira dengan pencapaian keseluruhan di Rio terutama pasukan olahraga.

Prestasi atlet berbasikal, pelayaran dan pingpong juga memberangsangkan, lebih daripada apa yang saya harapkan.

“Acara lain seperti powerlifting, renang, memanah dan tenis berkerusi roda, kami akan gandakan usaha dalam latihan agar mereka dapat mencatat keputusan lebih baik pada temasya Paralimpik akan datang,” katanya.

Dr Ang berkata pencapaian membanggakan di Rio itu menunjukkan bahawa mereka adalah atlet paralimpik Malaysia yang terbaik.

Beliau berkata dengan pencapaian itu, mereka telah membuktikan bahawa jika mereka berusaha dan bersungguh-sungguh serta menetapkan sasaran, mereka akan memperoleh kejayaan.

“Kita juga berharap pencapaian di Rio dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia yang kurang upaya supaya tidak mudah mengalah dan buktikan kemampuan mereka.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pegawai dan jurulatih, terutama Majlis Paralimpik Malaysia, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara yang memberi kerjasama sepenuhnya,” kata beliau.

Malaysia meraih pingat emas pertama Paralimpik di Rio baru-baru ini, sejak mula menyertai temasya sukan berkenaan di Heidelberg, Jerman pada 1972.

Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menyumbangkan pingat emas bersejarah itu dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy) selepas mencatat masa 12.07 saat, sekali gus memadamkan rekod Sukan Paralimpik 12.25s milik Roman Pavlyk dari Ukraine yang dilakukan di Beijing pada 2008. — Bernama

Advertisement