Anda di sini

Allan kecewa pasukan wushu disifatkan gagal pada SUKMA 2016 dikaitkan politik

Advertisement

KUCHING: Presiden Persekutuan Wushu Sarawak (WFS), Allan Wong menyuarakan kekecewaannya terhadap kerajaan negeri menyifatkan kegagalan kontinjennya merangkul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA 2016) Julai lalu disebabkan faktor politik.

Allan memetik kenyataan Menteri Belia, Sukan dan Solidariti, Dato Sri Micheal Manyin Jawong dalam sebuah akhbar berbahasa Cina, berkata tindakan itu tidak adil apabila dikaitkan dengan isu politik membabitkan persatuan sukan lain.

Katanya, pemimpin kementerian sukan negeri itu mengingatkan persatuan sukan di Sarawak agar tidak membawa politik ke dalam persatuan sehingga menyebabkan gagal berfungsi dengan baik.

Kenyataan tersebut membuatkan Allan marah, selepas disiarkan dalam media yang ternyata memburukkan reputasi WTS.

“Demikian kata Manyin semasa dialog antara kementeriannya dan Jabatan Belia dan Sukan, Sarawak pada Khamis,” katanya sambil mendedahkan Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah turut hadir pada program tersebut.

Bel iau menegaskan pendiriannya agar pihak akhbar itu bertanggungjawab dan tampil dengan penjelasan berhubung kenyataan yang disiarkan.

“Saya mahukan penjelasan sama ada menteri atau timbalan menteri berkenaan benar-benar membuat kenyataan itu atau adakah ia hanya satu laporan oleh seseorang yang tidak memahami keadaan keseluruhan,” katanya.

Allan yang juga Presiden Persekutuan Wushu Malaysia telah lama bersama badan induk negeri itu namun tiada isu politik dikesan.

Menurutnya, laporan itu mengelirukan semua pihak dan bersikap tidak adil malah menjejaskan imej dan reputasi persekutuan negeri.

WFS memenangi enam pingat emas, empat perak dan enam gangsa pada SUKMA lalu sekali gus menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik bagi acara tersebut.

“Pada SUKMA lalu, kami kalah kepada pasukan kebangsaan dan memenangi enam pingat emas itu adalah prestasi sangat baik tetapi mengapa masih kita dikatakan sebagai kegagalan meraih kejuaraan,” katanya.

Sehubungan itu, Allan akan mempertimbang mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar tersebut sekiranya tiada respon berhubung permintaannya untuk mendapatkan penjelasan.

Advertisement