Anda di sini

Waris tanah perkuburan Islam mohon jajaran LRT3 dialihkan

Advertisement

 Waris Tanah Perkuburan Islam Simpang Lima, Klang menziarahi kubur keluarga masing-masing dan mendesak kerajaan mengkaji semula pengambilan tanah perkuburan tersebut untuk projek pembangunan landasan perkhidmatan transit aliran ringan ketiganya (LRT3) di kawasan berkenaan ketika tinjauan BERNAMA, Klang, semalam. — Gambar Bernama

BANTAH: Waris Tanah Perkuburan Islam Simpang Lima, Klang menziarahi kubur keluarga masing-masing dan mendesak kerajaan mengkaji semula pengambilan tanah perkuburan tersebut untuk projek pembangunan landasan perkhidmatan transit aliran ringan ketiganya (LRT3) di kawasan berkenaan ketika tinjauan BERNAMA, Klang, semalam. — Gambar Bernama

KLANG: Kira-kira 100 waris mereka yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Simpang Lima, di sini meminta jajaran projek Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT3) dialihkan kerana didakwa merentasi kawasan kubur itu.

Seorang waris, Syed Ramli Syed Abu Bakar ketika ditemui berkata kumpulan berkenaan tidak menolak pembangunan yang dirancang tetapi jajaran projek itu sepatutnya diperhalusi dengan lebih teliti supaya tidak menyentuh sensitiviti masyarakat.

Beliau berkata tanah perkuburan yang telah wujud lebih 100 tahun itu juga tidak sepatutnya diganggu, malah projek berkenaan didakwa akan menyebabkan kira-kira 200 kubur terpaksa dipindahkan.

“Kami tidak menolak sebarang pembangunan tetapi apabila ia didapati mengganggu kawasan kubur ini, kami minta supaya jajaran LRT3 itu dialihkan demi menjaga sensitiviti kami,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Seorang lagi waris, Yusaini Hamer, 49, pula berkata sekiranya kawasan kubur berkenaan terpaksa dipindahkan, pihak yang terlibat dengan projek LRT3 sepatutnya menyediakan tanah yang lebih luas demi kemudahan masyarakat pada masa depan.

Katanya, faktor keluasan tanah baharu dengan lokasi yang lebih sesuai bagi pemindahan kubur berkenaan kelak dilihat akan memberi lebih manfaat kepada kariah di kawasan terbabit.

Kumpulan waris berkenaan semalam berkumpul di tanah perkuburan itu bagi mendapatkan maklumat daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung pengambilalihan sebahagian tanah perkuburan terbabit bagi projek LRT3.

Bagaimanapun, agensi itu membatalkan perjumpaan tersebut secara tiba-tiba tanpa sebarang alasan lanjut.

Laluan jajaran LRT3 akan bermula dari Taman Eng Ann, melalui Jalan Meru, stesen bas Klang Jalan Batu 3, Jalan Pasar, Jambatan Kota, persimpangan Simpang Lima dan berakhir di Johan Setia (berhadapan Bandar Parklands) dan dijangka siap pada 31 Ogos 2020.

Pada tahun lepas, Syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bersetuju untuk mengubah laluan LRT3 selepas mendapat bantahan daripada penduduk Taman Muhibbah, Klang.

Berikutan perubahan itu, jajaran LRT3 tidak lagi akan melintasi kawasan perumahan berkenaan dan perubahan jajaran juga tidak melibatkan sebarang pengambilalihan hartanah.

Projek itu merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Nasional Pengangkutan Awam Darat ke arah pembangunan sistem pengangkutan awam darat yang cekap, berkesan, bersepadu dan mampan bagi meningkatkan tahap sosioekonomi dan kualiti hidup rakyat. — Bernama

Advertisement