Anda di sini

Wanita dakwa ditipu pusat servis kereta

Advertisement

Oleh Michael Ubam //

 Keseluruhan enjin kereta pacuan empat roda dibuka oleh pihak pusat servis tanpa pengetahuan pengadu dan meminta kos baik pulih yang luar biasa.

TANPA MAKLUMAN: Keseluruhan enjin kereta pacuan empat roda dibuka oleh pihak pusat servis tanpa pengetahuan pengadu dan meminta kos baik pulih yang luar biasa.

SIBU: Seorang wanita berasa tertipu apabila mendapati beliau dikehendaki membuat pembayaran lebih RM50,000 untuk memperbaiki kerosakan enjin pacuan empat roda miliknya selepas dihantar ke sebuah pusat servis kereta di sini.

Kejadian itu berlaku apabila sebuah Isuzu D-max yang dibeli pengadu, 26, pada September dua tahun lalu mengalami kerosakan enjin semasa digunakan April lalu.

Pengadu berasal dari Kapit memberitahu enjin kenderaannya itu tiba-tiba gagal berfungsi dan tidak dapat dihidupkan semasa digunakan pada 4 April lalu di Kapit.

Menurutnya, kenderaan tersebut dihantar ke sebuah ejen penjual untuk tujuan pemeriksaan enjin.

Bagaimanapun, setelah menahan kenderaan tersebut selama sebulan ejen tersebut menghubungi pengadu bahawa keretanya perlu dirujuk kepada pusat servis kereta di Sibu dengan syarat pengadu membayar kos penghantaran sejumlah RM900.

Selepas dihantar ke pusat servis terbabit pada 13 Mei lalu, pengadu diberitahu mereka terpaksa menunggu pihak ibu pejabat melakukan pemeriksaan.

Pada 7 September lalu, pengadu berkunjung ke pusat servis semula untuk mengetahui mengenai perkembangan keretanya.

Pengadu dimaklumkan bahawa tuntutan waranti keretanya telah ditolak atas sebab-sebab tidak dinyatakan.

“Saya ditawarkan kos anggaran berjumlah RM30,000 untuk membaik pulih kereta yang menyebabkan saya agak terkilan ketika itu,” katanya ditemui di Balai Polis Sentral di sini petang semalam.

Lebih memeranjatkan kos membaik pulih kereta itu meningkat lebih RM50,000 apabila pengadu bersama keluarganya datang semula ke pusat servis tersebut di Jalan Lanang di sini Rabu lalu untuk mengadakan rundingan lanjut.

Keadaan itu menyebabkan pengadu tidak berpuas hati dan berasa tertipu sehingga mengambil keputusan membuat laporan polis tengah hari semalam.

Pengadu memberitahu kereta Isuzu D-max tersebut masih dalam tanggungan syarikat pengeluar terbabit selama tiga tahun.

“Lagipun, pusat servis membuka keseluruhan enjin kereta tanpa sebarang makluman terlebih dahulu,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintenden Martin Koo ketika dihubungi memberitahu satu laporan polis berhubung kes tersebut telah diterima pihaknya.

“Laporan yang dibuat oleh pengadu akan dirujuk oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil kepada syarikat berkenaan, terutama berkaitan isu tempoh jaminan dan kos yang berpatutan,” jelasnya.

Tambahnya, pihak polis akan menasihatkan pihak syarikat berkenaan untuk berjumpa dengan pengadu bagi tujuan menyelesaikan isu tersebut secara adil.

Advertisement