Anda di sini

Siapa bakal presiden baharu FAS?

Advertisement

B16091609

KUCHING: Dengan pemilihan Exco Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) semakin hampir, siapa bakal menjadi presiden baharu FAS masih lagi menjadi tanda tanya.

Ia walaupun timbul ura-ura yang mengatakan kemungkinan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof bakal dicalonkan.

Bagaimanapun, Fadillah ketika dihubungi bagi mendapatkan pengesahan berhubung perkara tersebut enggan mengulas mengenainya.

Fadillah yang juga merupakan Ahli Parlimen Petra Jaya merupakan seorang peminat bola sepak tegar dan beliau sentiasa mengikuti perkembangan semasa bola sepak Sarawak.

Beliau turut terlibat secara aktif dalam Liga Bola Sepak Rakyat (LBR), malah telah membantu pasukan Kuching FA dari segi kewangan.

Turut disebut-sebut mungkin dicalonkan ialah ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman sebagai timbalan presiden FAS yang baharu.

Namun ketika dihubungi, beliau menyatakan tidak berminat untuk mengisi jawatan tersebut dan menegaskan tidak akan bertanding.

“Tanggungjawab jawatan tersebut amat mencabar di mana presiden dan timbalan presiden sekarang telah melaksanakan tanggungjawab yang begitu baik dan meletakkan standard yang begitu tinggi.

“Mereka telah berjaya menaikkan kembali pasukan bola sepak Sarawak dari Liga Perdana ke Liga Super pada 2013 dan saya amat menghargai usaha serta kejayaan yang telah mereka laksanakan,” katanya.

Situasi semasa FAS turut menarik perhatian bekas jurulatih pasukan bola sepak Sarawak dalam Liga Malaysia pada 1980-1990 yang telah mencipta slogan ‘Ngap Sayot,’ Awang Mahyan Awang Mohamad yang berharap Datu Sudarsono Osman kekal menjadi Presiden FAS.

“Saya rasa beliau (Sudarsono) tidak patut tergesa-gesa untuk mengundur diri.

Jika beliau masih menjadi presiden, maka tidak mustahil untuk pasukan bola sepak Sarawak bangkit semula,” katanya.

Awang Mahyan berkata, beliau tidak melihat pengunduran Sudarsono bersama Timbalannya, Datuk Abu Bakar Marzuki dan Setiausaha Agung FAS Abdullah Julaihi disebabkan prestasi pasukan Sarawak yang merudum sekarang.

“Kalau tidak kerana Sudarsono, sudah lama pasukan Sarawak tidak dapat menyertai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan kembali ke kancah Liga Malaysia disebabkan tiada duit.

“Maka, saya melihat pengunduran Sudarsono kemungkinan besar tidak berpunca daripada prestasi Sarawak yang merudum,” katanya.

Kelmarin, Sudarsono yang menjadi Presiden FAS sejak 2010 bersama Abu Bakar dan Abdullah telah mengumumkan tidak bertanding pada Mesyuarat Agung Tahunan FAS 2016, 17 September ini.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan tiga jawatan tertinggi FAS dilepaskan secara serentak.

Barisan kepimpinan FAS di bawah kendalian Sudarsono telah berjaya menjadikan badan induk bola sepak negeri itu sebagai organisasi bebas hutang.

Malah, mutu dan perkembangan bola sepak Sarawak turut dipertingkat sekali gus menjuarai Liga Perdana 2013 dan layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2013, naib juara Liga Perdana 2012 dan kekal beraksi dalam Liga Super dari tahun 2014 hingga 2016.

 

Advertisement