Anda di sini

KLT lengkapkan aksi kesembilan EBL Yuwang 2016 tanpa kalah

Advertisement

KUCHING: Kuching Lord Tigers (KLT) melengkapkan aksi kesembilan Liga Bola Keranjang Malaysia Timur (EBL) Yuwang 2016 dengan rekod tanpa kalah setelah mengatasi Brunei Beruang Blazers dengan 66- 64 di Sirkit Kota Kinabalu, kelmarin.

Aksi terakhir di pusingan ketiga kejohanan itu menyaksikan saingan sengit diberikan skuad Beruang bagi merencatkan percaturan KLT.

Brunei Beruang Blazer dilihat mendominasi perlawanan setelah berjaya mendahului KLT (26-19 dan 42-30) dalam dua babak pertama saingan.

Bagaimanapun, kemaraan KLT gagal disekat pasukan dari Brunei apabila Yiek Chai Teck muncul wira melakukan jaringan dua mata ketika pasukan terikat 64-64 beberapa minit sebelum tamat perlawanan.

Sementara itu pasukan tuan rumah, Kota Kinabalu Eagles unggul mencatat kemenangan 99-74 ke atas Labuan Wasps di laman sendiri.

KLT kini cemerlang di persada liga dengan 18 mata selepas mengharungi sembilan perlawanan tanpa kalah.

Manakala tiga pasukan lain berkongsi 12 mata, bagaimanapun Labuan Wasps di tangga kedua yang dibezakan defisit mata dengan Kota Kinabalu Eagles dan Brunei Beruang Blazers.

Namun apa yang pasti, saingan di Sirkit Brunei pada 16 September bakal menyaksikan perebutan slot perlawanan akhir bagi ketiga-tiga pasukan.

KLT akan menentang wakil tuan rumah, Brunei Beruang Blazers, manakala perlawanan pembukaan akan berlangsung pada jam 7 malam antara Labuan Wasps dan Kota Kinabalu Eagles.

Advertisement