Anda di sini

Kempen kesedaran Komuniti ASEAN perlu dilaksanakan

Advertisement

Elak peristiwa seperti ‘Brexit’ berlaku pada komuniti tersebut

KUALA LUMPUR: Para pemimpin ASEAN harus lebih proaktif dalam melaksanakan kempen kesedaran dan pendidikan mengenai Komuniti ASEAN kepada rakyat bagi mengelakkan berlakunya peristiwa seperti ‘Brexit’ pada komuniti tersebut.

Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Rahman Embong daripada Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia berkata rakyat negara ASEAN tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai Komuniti ASEAN, yang mana ia boleh menjadi halangan dalam melaksanakan objektifnya.

“Mereka belum cukup arif tentang komuniti ini, sama ada dari segi ekonomi, sosiobudaya dan lain-lain, dan apa kepentingan mereka dalam objektif pembentukan komuniti ini.

“(Brexit terjadi) kerana rakyat Britain tidak menjiwai apa itu Kesatuan Eropah (EU) lantaran itu di (komuniti) ASEAN ini kita mahu rakyat menjiwainya,” kata Abdul Rahman kepada pemberita pada Forum Integrasi Ekonomi ASEAN 2016, di sini, semalam.

Keadaan ini, katanya, telah mewujudkan jurang yang lebar antara aspirasi pemimpin dengan apa sebenarnya yang difahami dan dihayati oleh rakyat.

Justeru itu, beliau berkata usaha perlu diambil oleh para pemimpin ASEAN untuk mendidik masyarakat dan memberi kesedaran kepada mereka tentang Komuniti ASEAN di samping mengambil kira kehendak dan masalah rakyat dalam perkumpulan tersebut.

Perkumpulan ASEAN dianggotai sepuluh negara iaitu Malaysia, Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Terdahulu dalam ucap tamanya, Abdul Rahman menggesa golongan atasan perkumpulan itu untuk membina kekuatan daripada visi, kebijaksanaan dan imaginasi daripada rakyat bawahan.

Bagi memastikan kemampanan komuniti itu untuk perkongsian masa depan bersama, perubahan budaya berfikir adalah suatu yang perlu sama ada dalam golongan atasan mahupun rakyat, katanya.

Beliau juga menggesa pengukuhan kerangka sosial dalam Komuniti ASEAN kerana ia bahagian amat penting bagi komuniti tersebut selain rangkaian perniagaan.

“Institusi sosial relevan dalam masyarakat perlu dikenal pasti dan digerakkan. Universiti di ASEAN serta media ASEAN adalah pemain utama dalam membangunkan dan mengembangkan kerangka sosial.

“Keluarga dan sekolah juga merupakan bahagian penting kerangka sosial ini bagi membimbing golongan muda membina masa depan kita pada hari ini,” katanya.  — Bernama

Advertisement