Anda di sini

Kejayaan atlet OKU membuktikan cabaran fizikal bukan penghalang

Advertisement

KUCHING: Kejayaan dua atlet orang kurang upaya (OKU) negara meraih pingat emas dalam Sukan Paralimpik 2016 di Rio, Brazil membuktikan cabaran fizikal bukan penghalang kejayaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pencapaian cemerlang itu sekali gus melakar sejarah tersendiri buat Malaysia.

Pingat emas negara dimenangi Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100 meter T36 (celebral palsy) dan Muhammad Ziyad Zolkefli bagi acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran).

Lebih manis, Rohani dalam kenyataannya menyatakan bahawa Ziyad turut mencipta rekod baharu dalam acara yang disertainya.

Beliau berbangga dengan pencapaian atlet OKU yang memenangi pingat emas di peringkat antarabangsa itu.

Menurut Rohani, kejayaan dua atlet paralimpik itu bukan sahaja berjaya mengharumkan nama negara, malah menjulang martabat Malaysia.

Justeru, ia turut menonjolkan atlet dalam golongan kurang upaya berprestasi tinggi dan berwibawa.

Selain itu, katanya pencapaian tersebut bukti kekurangan faktor fizikal bukan penghalang kepada kejayaan.

Beliau berharap kejayaan itu dapat menjadi pemangkin kepada atlet lain dalam mencipta kejayaan lain dalam sukan dipertandingkan.

Advertisement