Anda di sini

David puas hati prestasi Ngap Sayot

Advertisement

KUCHING: Terikat 1-1 dengan Kelantan belum memadai buat pengendali Sarawak David Usop dalam memburu tiga mata penting ketika saingan Liga Super 2016 di Stadium Negeri, kelmarin.

Mengakui sedikit kecewa berikutan kegagalan meraih kemenangan, David tetap berpuas hati dengan persembahan pasukannya yang mampu mengekang kebangkitan The Red Warrior.

“Tidak dinafikan sedikit kecewa dengan keputusan malam ini (Sabtu) kerana kita mampu menang untuk mengutip tiga mata.

“Tetapi mereka (Kelantan) berjaya bangkit menyamakan jaringan pada penghujung babak pertama,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Bagaimanapun beliau berbangga dengan semangat yang dipamerkan para pemain meskipun misi mesti menang pasukan gagal di laman sendiri.

“Saya bangga dengan komitmen mereka memburu gol kemenangan sehingga wisel penamat, namun nasib tidak menyebelahi mereka walaupun sudah melakukan yang terbaik,” katanya.

Pelawat dikejutkan dengan jaringan pembukaan menerusi Junior Aparecido seawal saat ke-35, memperdayakan Khairul Fahmi Che Mat ketika berdepan satu lawan satu di hadapan gawang.

Bagaimanapun Junior terpaksa dikeluarkan pada minit ke-12 ekoran kecederaan, yang turut memberi kesan di bahagian tengah Sarawak.

Dalam pada itu, David menyifatkan benteng Sarawak kental bertahan daripada asakan bertali arus Kelantan bagi memburu gol.

Sarawak yang kehilangan Hairol Mokhtar yang berdepan penggantungan berusaha menyerap tekanan menerusi kombinasi menarik Ronny Harun dan Teah Baysah Dennis.

Malah kecemerlangan Mohd Shahril Sa’ari sekali lagi terserlah dalam aksi kelmarin apabila berjaya menghampakan deretan cubaan jentera serangan anak buah Velizar Popov.

Beliau turut memuji potensi pemain muda Nur Shamie Iszuan Amin dan Tommy Mawat Bada yang memiliki masa depan cerah jika diberi lebih peluang untuk beraksi.

Hasilnya pada minit ke-40, Wan Zahrulnizam Wan Zakaria berjaya memanfaatkan lantunan bola yang terkena palang sebelum itu untuk gol penyamaan.

Sarawak akan meneruskan baki saingan Liga Super bertemu PDRM di Stadium Negeri pada 24 September ini.

 

Advertisement