Anda di sini

Fasiliti sukan perlu diselia ikut SOP yang telah ditetapkan oleh SSC: Dr Ong

Advertisement

KUCHING: Mana-mana persatuan sukan atau badan swasta yang dilantik menyelia fasiliti sukan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Perbadanan Stadium Sarawak (SSC).

Ini bagi memastikan setiap fasiliti sukan di negeri ini dijaga dan diurus dengan baik, jelas Ketua Pegawai Eksekutif SSC Dr Ong Kong Swee semalam.

“Kita tidak mahu apa yang berlaku terhadap fasiliti sukan sebelum ini berulang semula. Justeru, setiap persatuan sukan atau badan swasta yang dilantik perlu mematuhi polisi yang kita tetapkan.

“Perjanjian antara SSC dan persatuan sukan juga bersifat ‘win-win situation’ di mana apabila kita menyerahkan fasiliti kepada mereka, persatuan perlu menjaga fasiliti tersebut dengan baik seperti membayar bil utiliti dan memastikan kawalan keselamatan sentiasa dijaga.”

Sehubungan itu, Ong bercadang untuk menempatkan pejabat SSC di setiap fasiliti sukan bagi membolehkan mereka memantau sama ada persatuan atau badan swasta yang dilantik mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

Tegasnya, penempatan pejabat mini SSC itu juga penting bagi memantau program pembangunan sukan peringkat akar umbi di setiap fasiliti itu nanti.

“SSC sedang dalam proses berbincang dengan beberapa persatuan sukan dan menilai kertas kerja yang dicadangkan oleh mereka sebelum membentangkannya kepada kementerian untuk tindakan susulan.

“Tidak semua fasiliti akan diserahkan kepada persatuan kerana sebahagiannya juga akan diselia oleh SSC sendiri,” katanya lagi.

Ong juga bersetuju pihaknya perlu menjana pendapatan untuk memastikan setiap fasiliti tersebut dapat diselenggara secara konsisten.

“Sebagai contoh, kos bulanan untuk menyelenggara Pusat Akuatik Sarawak kira-kira RM70,000 sebulan yang merangkumi bil utiliti, kawalan keselamatan dan gaji pekerja,” tambah beliau.

Advertisement