Anda di sini

David optimis Sarawak jinakkan Kelantan

Advertisement

Pemain diingat tingkat usaha, fokus kepada kemenangan

// Oleh Harry Ilias //

 David memberi arahan kepada pemain semasa sesi latihan.

PERSEDIAAN: David memberi arahan kepada pemain semasa sesi latihan.

KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak David Usop tetap optimis skuadnya mampu menjinakkan Kelantan pada aksi Liga Super di Stadium Negeri, Petra Jaya malam ini.

Ketika ditemui semasa sesi latihan semalam, David berkata skuad yang mendapat jolokan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) juga sedang berdepan situasi tidak menentu sejak kebelakangan ini.

“Prestasi Kelantan ketika ini juga tidak konsisten dan situasi ini harus dimanfaat sepenuhnya oleh pemain kita untuk memastikan kemenangan malam ini.

“Justeru, saya mahu pemain meningkatkan usaha dan lebih fokus kerana kita amat memerlukan kemenangan. Paling penting elak daripada membuat kesilapan yang tidak sepatutnya.

“Rehat panjang memberi peluang kepada pemain mengembalikan semula kecergasan dan kita berada pada tahap terbaik untuk menghadapi perlawanan ini,” katanya semalam.

David bagaimanapun mendedahkan akan membuat rombakan kecil dalam usaha memantapkan lagi skuadnya.

Menurutnya, ketiadaan Shreen Tambi yang digantung perlawanan memaksa beliau memberi peluang kepada Dalglish Papin Test untuk bergandingan dengan Shahrol Saperi di posisi tengah.

Ini termasuk perubahan di bahagian serangan di mana perancang, Junior Aparecido akan digandingkan bersama Gilmar Jose Da Silva Filho untuk menggempur kubu Kelantan.

“Beliau (Dalglish) mempunyai kepantasan dan juga mampu membantu di posisi pertahanan. Saya percaya gandingannya dengan Shahrol akan membantu menyelesaikan masalah di posisi tengah.

“Cuma yang membimbangkan keadaan Ronny Harun yang belum cergas sepenuhnya. Namun, saya percaya beliau dapat diturunkan malam ini,” tegas David lagi.

Sarawak tidak mempunyai pilihan melainkan perlu menewaskan Kelantan untuk menjarakkan mereka dari zon penyingkiran.

Skuad itu sedang menduduki tangga kesembilan dengan mengumpul 19 mata.

Advertisement