Anda di sini

Kuching venue sepak mula LBR 2016/2017 pada 24 September

Advertisement

KUCHING: Kuching diberi penghormatan sebagai venue bagi sepak mula kempen musim kedua Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2016/2017 yang akan bermula pada 24 September ini.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi LBR, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman semasa taklimat kejohanan itu di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

“Sepak mula Liga Bola Sepak Rakyat musim kedua akan diadakan di Kuching sebagai memberi penghormatan kepada skuad itu yang menjuarai edisi pertama.

“Sehubungan itu, saya mengharapkan kerjasama erat dengan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) untuk memastikan kelancaran majlis itu kelak,” katanya semalam.

Menurut Shamsul, sepak mula pada 24 September ini dijangka meriah kerana penaja utama iaitu Bank Rakyat juga akan mengadakan karnival sebelum perlawanan bermula.

Manakala di sebelah malam, akan berlangsung perlawanan persahabatan antara pihak pengurusan LBR dan pilihan Sarawak.

Menurutnya, sejumlah 12 pasukan yang mewakili bahagian negeri Sarawak akan berentap kali ini dalam Zon Borneo II.

“Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman diundi dalam Kumpulan A, Mi r i , Bintulu, Limbang, Mukah dalam Kumpulan B manakala Betong, Sibu, Kapit dan Sarikei dalam Kumpulan C.

“Undian dibuat bersesuaian dengan faktor logistik bagi memudahkan setiap pasukan mengikuti perlawanan,” katanya.

Jelasnya, jumlah penyertaan juga sama seperti tahun lepas iaitu sebanyak 108 pasukan dari seluruh negara dengan saingan dijangka berakhir pada penghujung April 2017.

Format pada edisi kali ini juga berubah di mana setiap pasukan perlu menyenaraikan 10 pemain di bawah 21 tahun, manakala selebihnya perlu berusia 28 tahun ke bawah.

Ini termasuk perlawanan akhir di mana ia akan berlangsung secara timbal balik melibatkan kedua finalis, katanya lagi.

Seperti edisi sebelumnnya, juara akan membawa pulang RM100,000 manakala tempat kedua RM75,000.

LBR yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tempoh 10 tahun merupakan inisiatif untuk memberi peluang kepada pemain-pemain muda bertanding dalam kejohanan bola sepak kompetitif selain sebagai landasan untuk mencungkil bakat baharu yang boleh diketengah ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, Naib Presiden FAS Razali Dolhan optimis kelebihan memihak kepada Kuching dalam misi mengekalkan kejuaraan LBR buat kali kedua.

“Kuching berkelebihan kerana berbekalkan pengalaman pada saingan sebelum ini selain persiapan rapi oleh pihak pengurusan untuk menghadapi edisi kali ini,” ujarnya ringkas.

Hadir sama Ketua Operasi LBR Azman Ibrahim dan Naib Presiden FAS Haidel Heli.

Advertisement