Anda di sini

Sarjan polis didakwa terima suapan RM700

Advertisement

ALOR SETAR: Seorang sarjan polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM700, dua tahun lepas.

Rijali Solah, 55, yang bertugas sebagai penolong pegawai penyiasat jenayah narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan didakwa menerima wang tersebut sebagai dorongan bagi membantu menukar keputusan ujian air kencing ke atas Mohd Hizzam Hussin, 38.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Kak Chaq Ikan Bakar dalam daerah Kuala Muda, kira-kira jam 2.10 petang pada 12 Mei 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A. Hafiizh Abu Bakar memohon mahkamah mengenakan ikat jamin berjumlah RM10,000 sebelum tertuduh yang diwakili peguam, S.P. Raman merayu wang jaminan dikurangkan kerana anak guamnya perlu menyara tiga anak yang masih bersekolah.

Hakim Zanol Rashid Hussain kemudian membenarkan ikat jamin berjumlah RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Sept depan untuk sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement