Anda di sini

DBKL arah pengusaha ‘foodtaxi’ berhenti berniaga di KL Sentral

Advertisement
 Teksi premier lama yang berfungsi sebagai ‘foodtaxi’ di sekitar KL Sentral bagi menjual makanan kepada                                     pemandu-pemandu teksi dan orang awam. — Gambar Bernama

TIADA PERMIT: Teksi premier lama yang berfungsi sebagai ‘foodtaxi’ di sekitar KL Sentral bagi menjual makanan kepada pemandu-pemandu teksi dan orang awam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Usaha gigih seorang pemandu teksi menjalankan ‘foodtaxi’ di pekarangan KL Sentral di sini sejak dua bulan lalu berakhir secara mengejut semalam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan amaran kepada pengusaha berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Zainal, supaya mengosongkan tapak pernigaannya dengan serta-merta atas alasan tidak mempunyai permit sah.

Foodtaxi yang ditransformasikan daripada teksi premier lama itu telah menjual makanan berpek tidak lebih daripada RM10 kepada pemandu teksi di sekitar kawasan itu selama tempoh tersebut.

Zainal, 65, berkata kos hidup tinggi serta rezeki pemandu teksi yang tidak menentu memaksanya untuk mencari hasil sampingan dengan menjual makanan secara bergerak.

Katanya, niatnya juga mahu menjual makanan dengan harga murah kepada rakan-rakan pemandu teksinya.

“Kos hidup semakin mahal, dulu makan sepinggan nasi berlauk tak sampai RM5 tetapi sekarang tak kurang daripada RM10. Mana kami mampu?” kata beliau.

“Kebanyakan restoran di sini menjual makanan mahal. Jadi saya terfikir untuk menjual makanan dengan murah menggunakan cara ini,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Beliau juga berkata, wujudnya perkhidmatan kereta se-wa seperti Grabcar dan Uber menyebabkan penumpang-penumpang menggunakan perkhidmatan teksi bermeter semakin berkurangan.

“Ramai orang memilih Uber dan Grabcar menjejas pendapatan kami,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati foodtaxi mendapat sambutan menggalakkan terutama pada waktu pagi dan tengah hari dalam kala-ngan pemandu teksi di sekitar KL Sentral.

Menurut Zainal, pihak pengurusan KL Sentral tidak menghalangnya untuk berniaga makanan di kawasan itu asalkan menjaga kebersihan dan keselamatan di sekitarnya.

“Foodtaxi saya ini berope-rasi dari jam 7 pagi hingga 3 petang bergantung pada stok makanan yang masih ada.

“Sekarang DBKL sudah keluar amaran, jadi saya harus cari kawasan alternatif,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL Datuk Mohd Saufi Muhammad berkata adalah menjadi kesalahan sekiranya pemandu teksi menggunakan kenderaan mereka untuk menjalankan perniagaan.

Katanya, pihaknya percaya masih ada ‘foodtruck’ ataupun foodtaxi di sekitar ibu kota yang berniaga tanpa mendapatkan permit DBKL.

“Kami akan menjalankan siasatan ke atas kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan teksi bermeter seperti KL Sentral dan stesen-stesen bas sama ada wujud foodtaxi tanpa permit sah.

“Sekiranya mendapati foodtaxi berfungsi di sekitar ibu kota, kami akan mengeluarkan amaran pemindahan serta-merta di bawah Undang-undang Kecil Perlesenan Penjaja dan Gerai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1989,” katanya. — Bernama

Advertisement