Anda di sini

Cubaan culik pekerja kilang mungkin bermotifkan samun

Advertisement

GEORGE TOWN: Polis tidak menolak kemungkinan kejadian cubaan menculik pekerja asing wanita sebuah kilang pakaian di Jalan Sungai Pinang, baru-baru ini lebih kepada cubaan samun.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata ini berkutan kejadian dilaporkan berlaku pada hari mereka mendapat gaji dan polis tidak menolak kemungkinan kejadian mempunyai kaitan dengan orang dalam.

“Berdasarkan rakaman CCTV di kawasan itu memang terdapat sebuah kereta yang berhenti dan seorang lelaki turun serta cuba menarik pekerja wanita yang melalui jalan berkenaan.

“Kami masih meneruskan siasatan dan menyiasat secara terperinci sama ada ia cubaan culik atau cubaan samun bagi kes itu. Polis juga meningkatkan rondaan di kawasan berkenaan bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya di sini semalam.

Pada Ahad lepas, polis menerima lapan laporan polis daripada pekerja wanita sebuah kilang pakaian di Jalan Sungai Pinang, Jelutong di sini berhubung kejadian cubaan culik sejak 28 hingga 30 Ogos lepas oleh lelaki yang datang dengan kereta atau van.

Mior Faridalathrash turut menafikan kejadian itu mempunyai kaitan dengan sindiket pemerdagangan manusia seperti dilaporkan sebuah akhbar semalam.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata seorang lelaki dan wanita yang melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM10,000 dari sebuah kedai emas, di Jalan Teck Soon, Komtar di sini Khamis lepas dipercayai terlibat dalam beberapa kes rompakan kedai emas di Pulau Pinang dan Sungai Petani, Kedah.

“Berdasarkan pemeriksaan CCTV mendapati mereka berdua dan seorang lagi lelaki dipercayai anggota geng berkenaan terlibat dalam kejadian rompakan di beberapa lokasi lain,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan beberapa petunjuk yang diperoleh, polis percaya dapat menyelesaikan kes itu dalam tempoh terdekat. — Bernama

Advertisement