Anda di sini

Boleh gugur kandungan sebab Zika

Advertisement

Menteri Kesihatan terima pandangan mufti dan gesa kata sepakat dicapai

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata beliau menerima pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung hukum menggugurkan janin bagi ibu yang dijangkiti Zika.

Beliau berkata, pandangan itu wajar dibincangkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan supaya boleh mencapai kata sepakat berhubung perkara tersebut.

“Menurut undang-undang sedia ada, kita hanya membenarkan pengguguran sekiranya ia membahayakan ibu yang mengandung.

“Saya menerima pandangan beliau (mufti). Namun perlu ada satu pendirian agama yang jelas kerana isu ini bukan sahaja melibatkan mereka yang dalam bidang perubatan tetapi agama juga,” katanya kepada pemberita.

Beliau merasmikan Persidangan Saintifik Kesihatan Bersekutu 2016 di sini semalam.

Kelmarin Dr Zulkifli dilapor sebagai berkata orang Islam boleh menggugurkan kandungan mereka jika dijangkiti virus Zika yang boleh memudaratkan kehidupan keluarga atau bayi itu sendiri.

Ditanya sama ada kerajaan akan mewajibkan wanita mengandung yang berada atau mengunjungi negara yang mengalami Zika membuat imbasan, Dr Subramaniam berkata golongan tersebut boleh mendapatkan pandangan daripada doktor.

“Mereka boleh berjumpa doktor bagi mencari jalan yang selamat,” katanya.

Dua kes Zika dikesan di negara ini setakat ini yang satu daripadanya mengakibatkan kematian. — Bernama

Advertisement