Anda di sini

Virus Zika sudah pun wujud dalam masyarakat

Advertisement

Pesakit lelaki di Sabah dilaporkan dijangkiti di dalam negeri

KUALA LUMPUR: Pengesahan kes kedua jangkitan Zika, di Kota Kinabalu, Sabah, menunjukkan bahawa virus itu sudah sedia wujud di negara ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau mengambil perhatian bahawa pesakit berkenaan, yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung kelmarin, tidak pernah berkunjung ke mana-mana negara lain di mana kes penyakit itu banyak dilaporkan.

Ini, kata beliau, bermakna lelaki itu dijangkiti penyakit itu dalam negeri.

“Dia dijangkiti selepas digigit nyamuk yang membawa virus penyakit itu,” kata beliau dalam satu catatan Facebook.

Subramaniam berkata, kementeriannya tidak dapat memberi jawapan dari mana nyamuk itu datang.

“Ia menunjukkan ada orang lain yang dijangkiti dalam masyarakat. Mereka berpotensi menjadi punca jangkitan,” kata menteri itu.

Kelmarin, Ketua Perngarah Kesihtan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pesakit lelaki berusia 61 tahun itu yang tinggal di Sabah, mati akibatkomplikasi jantung.

Malaysia melaporkan kes pertama jangkitan Zika bila seorang wanita berusia 58 tahun dari Bandar Botanic, Klang, Selangor, diuji positif virus itu selepas seminggu pulang dari Singapura pada 21 Ogos.

Mengenai pesakit lelaki itu, Subramanian berkata, lelaki itu mengalami beberapa gejala sebelum dijangkiti penyakit termasuk kegagalan jantung dan penyakit ginjal kronik yang mengancam nyawa.

“Sebarang bentuk ‘viraemia’ dalam situasi seumpama itu boleh mengubah imbangan dan menyebabkan kematiannya,” kata Subramaniam.

(Viraemia adalah keadaan perubatan ketika mana virus memasuki saluran darah, seterusnya dapat mengakses bahagian-bahagian lain tubuh). — Bernama

Advertisement