Anda di sini

Pelabur Beijing intai Sibu

Advertisement

Cari peluang untuk bangunkan projek pelancongan

// Oleh Borhaniza Ali Basah //

 Wong (dua kiri) meninjau dari tingkap bilik mesyuarat MPS untuk menunjukkan kepada Liu (kanan) keluasan sekitar kawasan Sibu. Sementara Hii (kiri) melihat sama.

TARIK MINAT: Wong (dua kiri) meninjau dari tingkap bilik mesyuarat MPS untuk menunjukkan kepada Liu (kanan) keluasan sekitar kawasan Sibu. Sementara Hii (kiri) melihat sama.

SIBU: Sebagai sebuah wilayah tengah di negeri ini, pelabur sektor pelancongan utama dari Beijing, China sedang mencari peluang untuk membangunkan projek-projek pelancongan di Sibu.

Menurut Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, pelabur dari Beijing ini berminat untuk menjadikan sektor swasta tempatan sebagai rakan kongsi mereka.

Katanya, beberapa kawasan yang mempunyai potensi untuk diterokai telah dicadangkan kepada delegasi ini antaranya kawasan pesisir pantai di Tanjung Manis, Pulau Kerto dan kawasan hutan.

“Saya berasakan mereka sedang mengkaji beberapa pilihan iaitu resort di pesisir pantai Tanjung Manis, Pulau Kerto dan resort hutan yang dicadangkan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Datuk Tiong Thai King,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mendengar taklimat daripada delegasi dari Beijing, China yang diketuai Pengerusi Beijing Glory Culture Development Co.Ltd Liu Ning yang membuat kunjungan hormat di Pejabat Pengerusi MPS di sini, semalam.

Hadir sama Residen Bahagian Sibu Hii Chang Kee.

Delegasi ini juga telah membuat kunjungan hormat di pejabat Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg di Kuching pada Khamis (1 Ogos) lepas sempena lawatan tujuh hari di negeri ini bermula 31 Ogos hingga 7 September.

Antara objektif utama lawatan ini adalah untuk menerokai peluang perniagaan dalam sektor pelancongan dan hospitaliti serta infrastruktur di negeri Sarawak.

Sehubungan itu, katanya perbincangan lebih teliti akan dibuat dengan delegasi dari Beijing ini.

“Mereka mungkin ada idea bernas sendiri, jadi kami masih belum mengetahui apakah perancangan mereka,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau memberitahu rombongan delegasi ini akan melawat ke sebuah rumah panjang untuk merasai sendiri pengalaman berada di rumah panjang.

“Bentuk kebudayaan di Sarawak adalah sesuatu yang baharu buat pelancong China dan saya percaya ia mampu menarik minat mereka untuk melancong di Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Sibu merupakan persinggahan kedua bagi kumpulan itu, dan akan menuju ke Miri hari ini untuk melengkapkan lawatan mereka ke tiga kawasan iaitu selatan, kawasan tengah dan kawasan utara Sarawak.

Naib Presiden Beijing Glory Culture Development Co.Ltd Cai AiRen dan Pengurus Projek Wu Yu, Timbalan, Ketua Pegawai Kanan BTG Hotels & Resort Group Wang Qiang, Timbalan Presiden Beijing Glory Culture Development Co.Ltd Chew Koh Choan, Pengarah Cassey Enterprise PTE LTD T.A Yap dan Pengurus Pemasaran Travel Service Group Wang Chuan antara yang menyertai delegasi berkenaan.

Advertisement