Anda di sini

Sabah komited majukan pendidikan tinggi negara

Advertisement

KOTA KINABALU: Kerajaan akan terus komited dan sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha ke arah kemajuan dan peningkatan tahap pendidikan tinggi negara.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata seperti yang dilihat hari ini, sejak kewujudan Universiti Malaysia Sabah (UMS), pembangunan dan kemajuan negeri bergerak seiring demi menampung keperluan ekonomi dan sosial pelajar.

“Implikasi positif ini juga memberi nilai tambah dan peningkatan taraf hidup dan ekonomi masyarakat di sekitarnya.

“Pendek kata, UMS sudah menjana satu transformasi pembangunan yang sangat pesat dalam tempoh yang pantas di negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Lafaz Ikrar Pelajar Baharu UMS Sesi 2016/2017, di sini, kelmarin.

Musa yang juga merangkap Pro Canselor UMS turut berpesan kepada siswa-siswi baharu agar bersedia dengan keadaan baharu sebaik sahaja melangkah kaki di UMS.

Katanya, apabila berada di menara gading, semuanya harus disiapsiagakan dan sentiasa bergerak pantas.

“Sudara saudari harus berdikari dalam mendapatkan ilmu kerana para pensyarah hanya membimbing dan membuka jalan, tetapi yang menggali ilmu adalah dari diri sendiri.

“Inilah yang membezakan suasana pembelajaran di sekolah dan universiti kerana di universiti, jika anda malas berusaha, anda akan gagal malah ketinggalan dengan rakan yang lain,” jelasnya.

Tambah beliau, mereka juga haruslah sentiasa terampil dalam bidang akademik bahkan dalam kegiatan universiti dan kemasyarakatan.

Sempena meraikan sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos lalu dan bakal menyusul sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini, Musa menggesa siswa-siswi untuk bersama-sama menjaga kemerdekaan yang dikecapi selama ini.

Menurutnya generasi hari ini perlu mensyukuri dan menghargai nikmat itu dengan sepenuhnya memandangkan mereka adalah generasi yang akan mewarisi dan meneruskan kesinambungan kestabilan dan keamanan negara ini.

Terdahulu, seramai 4,579 pelajar baharu UMS dari tiga kampus utama iaitu Kota Kinabalu, Sandakan dan Wilayah Persekutuan Labuan hadir melafazkan ikrar pelajar yang berlangsung dalam satu majlis kelmarin.

Advertisement