Anda di sini

Penganggur mengaku tidak bersalah culik murid 11 tahun

Advertisement

MIRI: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen semalam terhadap tuduhan menculik dan melakukan seks menggunakan tangan ke atas seorang budak perempuan berusia 11 tahun.

Julian Sabong, 36, dari Vista Perdana Fasa 1, Bandar Baru Permyjaya di sini telah didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah menculik seorang budak perempuan berusia 11 tahun dengan niat hendak melakukan kurungan secara sulit dan salah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 12.30 tengah hari hingga 1 petang di hadapan sebuah sekolah di Jalan Bulan Sabit di sini.

Selain itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Menurut pertuduhan kes, tertuduh telah melakukan seks dengan seorang  budak perempuan berusia 11 tahun dengan cara memasukkan jari tangannya ke dalam kemaluan mangsa tanpa kerelaan mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh antara jam 1 petang hingga 8 malam, 16 Ogos lalu di kawasan semak berhampiran Sungai Baong, Jalan Miri Bypass di sini.

Terdahulu, pegawai pendakwa ASP Mary Ong memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk perbicaraan kes ini memandangkan tertuduh telah mengaku tidak bersalah serta minta dibicara lanjut.

Beliau turut memohon agar tertuduh tidak ditawarkan jaminan memandangkan kesalahan dilakukannya adalah serius.

Tambahan katanya, tertuduh juga tinggal sebumbung dengan mangsa.

Hakim Steve Ritikos membenarkan permohonan itu dan menetapkan tiga hari bermula 4 hingga 6 Januari 2017 untuk perbicaraan lanjut.

Manakala tertuduh yang tidak diwakili diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Advertisement