Anda di sini

‘Mat Malaya’ dipenjara lima tahun kerana mencederakan mekanik

Advertisement
 Jusnaidi (tengah) keluar dari kamar mahkamah, selepas prosiding kes kelmarin.

BERSALAH: Jusnaidi (tengah) keluar dari kamar mahkamah, selepas prosiding kes kelmarin.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara lima tahun, oleh Mahkamah Sesyen di sini kelmarin, atas kesalahan mencederakan seorang mekanik.

Hakim Azreena Aziz mengenakan hukuman itu terhadap Mohd Jusnaidi Omar, 45, selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Keputusan itu dilakukan oleh mahkamah, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui diluar keraguan munasabah.

Tertuduh menembak mangsa Alkarim Atun, 36, pada 6 Mei tahun lalu jam 5 petang, di sebuah bengkel penyaman udara, Jalan Tuaran ByPass, di sini.

Dalam rayuan, peguam Ronney Cham memohon hukuman yang ringan dikenakan terhadap anak guamnya yang mempunyai seorang anak dan isteri yang  masih muda.

Katanya, tertuduh direman di penjara dalam tempoh yang lama sejak tahun lalu.

Menurutnya, hukuman maksimum untuk kesalahan berkenaan tiga tahun, namun dipinda kepada sepuluh tahun.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwaraya Husna Abd Malik menegaskan, hukuman berat harus dijatuhkan kerana keseriusan kesalahan.

Katanya, pindaan hukuman menunjukkan perhatian Parliamen yang memandangkan jenayah seumpama itu amat serius.

Tambahnya, sepucuk pistol digunakan tertuduh menembak mangsa, yang mana mengalami dua kecederaan di bahagian kaki kanan.

“Senjata berkenaan berbahaya dan boleh membawa kematian. Tertuduh seharusnya tahu senjata terbabit bukan mudah untuk diperolehi.

“Tertuduh yang merupakan bekas tentera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seharusnya lebih mengetahui mengenai perkara ini,” katanya.

Oleh itu, Husna menggesa agar mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam sebelum menjatuhkan hukuman.

Dalam pada itu, mahkamah mengetepikan permohonan tertuduh menangguhkan menjalani hukuman, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Advertisement