Anda di sini

Lima pengacara berbilang bangsa serikan sambutan Hari Kebangsaan

Advertisement

KUALA LUMPUR: “Puas, teruja dan gementar”, itulah perasaan yang bermain dalam diri empat muka baharu yang dipilih mengacarakan Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2016 di Dataran Merdeka, semalam.

“Rasa puas!, penghormatan dan kepercayaan yang diberikan ini merupakan satu kenangan terbaik dalam kerjaya saya sebagai seorang pengacara dan akan diingati sampai akhir hayat,” kata Terrence Dass, 35.

Beliau berkata pengalaman pertama kali mengacarakan acara tumpuan negara itu boleh disifatkan sebagai kemuncak kerjayanya biarpun pernah menjadi pengacara pada majlis yang dihadiri pemimpin tertinggi dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat Barack Obama semasa lawatannya ke Malaysia, Februari tahun lalu.

“Saya berasa sangat bertuah dipilih dan telah berlatih bersungguh-sungguh kerana berjanji pada diri sendiri untuk melaksanakan tanggungjawab ini sebaiknya sebagai sumbangan kecil kepada negara,” katanya kepada Bernama.

Bagi Pengacara Radio Televisyen Malaysia (RTM) Yenny Lee, 28, beliau menyifatkan peluang terlibat dalam sambutan kemerdekaan negara sebagai satu detik mengujakan.

Katanya, sebelum ini sambutan Hari Kebangsaan hanya disaksikannya melalui kaca televisyen dan tidak pernah terfikir akan berpeluang menjadi tulangbelakang kepada acara gilang-gemilang Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan tahun ini.

“Menyaksikan sendiri acara ini di hadapan mata sendiri dan menjadi sebahagian daripadanya membuatkan saya sangat teruja selain membuatkan semangat cintakan negara semakin menebal dalam diri.

“Keterujaan inilah yang mendorong saya untuk mengacarakan acara ini sebaik mungkin biarpun ia jauh berbeza dengan teknik penyampaian rancangan televisyen, namun berkat usaha dan bantuan rakan-rakan di sini, saya berjaya lakukannya hari ini (semalam),” katanya.

Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan tahun ini memberi suntikan kelainan dalam aspek pengacaraan apabila buat julung kalinya menggandingkan lima pengacara berbilang bangsa sebagai simbolik kepada tema sambutan pada tahun iniiaitu ‘Sehati Sejiwa’.

Sementara itu, Rajesh Buking berkata beliau begitu gementar saat mengetahui dipilih mengacarakan acara kebanggaan negara itu kerana melihatnya sebagai tugasan yang jauh berbeza dengan kerjayanya sebagai seorang penyampai radio di stesyen Wai FM untuk siaran di Sarawak.

“Pekerjaan saya hanya bercakap di dalam konti dan berbeza apabila mengacarakan sambutan Hari Kebangsaan ini kerana perlu berhadapan ribuan penonton selain cabaran seperti pertukaran susunan perjalanan majlis di saat akhir dan sebutan terma aset serta peralatan ketenteraan yang sukar.

“Bagaimanapun, hasil tunjuk ajar rakan lain dan pengalaman menjadi penyampai radio nyata membantu saya mengatasi perasaan gementar seterusnya memberi lontaran suara terbaik bagi menaikkan ‘mood’ pengunjung di Dataran Merdeka,” katanya.

Pandangan itu dipersetujui Jovenea Jim, seorang lagi muka baharu yang dipilih mengacarakan Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan, selain menambah keserasian yang wujud antara semua pengacara bagi memudahkan tugasan mereka.

Penolong Pengarah Bahagian Pengukuhan Seni Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Saifulkhairi Ahmad, 45, yang berpengalaman mengacarakan lima edisisambutan Hari Kebangsaan sejak 2011 pula tidak menyangka sekali lagi diberi kepercayaan mengendalikan acara tahunan itu.

“Peluang ini saya manfaatkan sepenuhnya untuk membantu empat lagi muka baharu yang pertama kali dipertemukan dan digandingkan dalam acara gilang-gemilang ini bagi memastikan segala perancangan berjaya dilaksanakan sebaiknya,” katanya. — Bernama

Advertisement