Anda di sini

GST dan gaji minimum punca pengusaha industri perkhidmatan makanan terjejas

Advertisement

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta gaji minimum dilihat antara faktor yang membawa kepada penutupan serentak kira-kira 17 premis makanan di sekitar pusat bandar raya.

Presiden Persatuan Pengusaha Industri Perkhidmatan Makanan Bumiputera Islam Negeri Sabah Rafih Mohd Said menyatakan perkara itu semasa sesi soal jawab bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Sri Mustapa Mohamed semasa Taklimat Umum bersama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Negeri Sabah, di sini kelmarin.

Rafih memberitahu bahawa situasi perniagaan industri makanan di negeri ini berdepan dengan cabaran sejak mula GST dilaksanakan. Apabila gaji minimum dikuatkuasakan pada Julai lalu, ramai antara majikan tidak mampu menanggung kos yang tinggi.

Dengan kadar inflasi semasa dan antipencatutan untuk mengawal PKS daripada mengubah suai struktur kos, ia memburukkan lagi keadaan.

Mengulas mengenai kenyataan itu, Mustapa berkata, GST adalah cukai baharu yang diperkenalkan dan ia mengambil tempoh dua tahun untuk stabil. Semua negara yang laksanakan GST mengambil masa dua tahun untuk berada dalam keadaan stabil dengan mengubah suai apa yang perlu.

Dengan itu, kerajaan akan mengerahkan agensi berkaitan untuk turun padang bagi memberi penerangan secara terperinci lagi.

“Untuk gaji minimum, kita tahu ia akan menimbulkan tekanan kepada beberapa majikan. Namun, kita sedar jika gaji rendah, sukar untuk meneruskan kehidupan di bandar-bandar utama seperti Kota Kinabalu.

“Di pihak kerajaan, kita melihat keperluan rakyat kerana sukar untuk mereka hidup dengan gaji yang rendah,” jelasnya.

Menjawab persoalan dikemukakan Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Sabah (FSI) Datuk Mohd Basri Abd Gafar mengenai Polisi Cabotaj, Mustapa berkata, kapasiti pelabuhan di Sepanggar tidak mencukupi dan menyebabkan penghantaran perlu dilakukan di Pelabuhan Kelang.

Dalam pada itu, mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dikhuatiri akan mewujudkan persaingan dari segi tenaga kerja mahir dan persediaan orang tempatan untuk bersaing dengan tenaga mahir dari negara lain Mustapa berkata, terdapat Undang-Undang Buruh yang mampu mengawal kemasukan tenaga mahir dari negara luar.

Katanya, kerajaan hanya membenarkan kemasukan tertentu tenaga mahir jika ia melibatkan syarikat besar. Mereka tidak dibawa masuk begitu sahaja sebaliknya, ada kawalan tertentu yang dilakukan.

Advertisement