Anda di sini

RISDA bakal mengeluarkan serum berasas getah bantu pekebun kecil

Advertisement

ALOR SETAR: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bakal mengeluarkan serum berasaskan getah untuk digunakan dalam penghasilan produk kosmetik.

Pengerusinya Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata kajian telah dijalankan bersama Lembaga Getah Malaysia terhadap pengeluaran protein daripada pokok getahyang boleh dijadikan serum dan dijangka mampu meningkatkan pendapatan penoreh tiga kali ganda berbanding sekarang.

“Kita hampir siapkan serum ini dan projek hiliran yang diwujudkan oleh RISDA ini adalah untuk membantu meningkatkan harga getah yang berdepan dengan ketidakstabilan harga,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Kasihi Pekebundan Perasmian Pusat Servis Tayar Risda Fleet Sdn Bhd di sini, semalam.

Dalam pada itu, Zahidi berkata dalam usaha membantu pekebun kecil, RISDA turut mencari pendekatan baharu misalnya mewujudkan Pusat Servis Tayar RISDA Fleet Sdn Bhd yang pertama di Pokok Sena untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pekebun kecil.

“Di pusat servis ini, harga tayar yang ditawarkan 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran di luar.

Kita turut menjual alat ganti kereta dan minyak hitam dengan harga lebih murah kerana kita ingin membantu meringakan bebanan golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.

Kerajaan katanya juga telah memperuntukkan RM40 juta setahun bagi membantu RISDA mengembangkan lagi perniagaan yang ingin diceburi pekebun kecil.

“RISDA mempunyai program usahawan yang mana sebanyak RM20,000 hingga RM50,000 geran akan diberikan. Seramai 11,000 usahawan telah berjaya dilahirkanoleh RISDA merangkumi pelbagai perniagaan,” katanya.

Terdahulu, Zahidi menyampaikan Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah sebanyak RM500 seorang kepada 300 penerima, terdiri daripada pekebun kecil dan penorehgetah bagi meringankan bebanan yang ditanggung mereka susulan kejatuhan harga getah di pasaran.

“Jumlah keseluruhan bantuan yang diperuntukan bagi Kedah adalah sebanyak RM33.56 juta dan diharap ia dapat meringankan bebanan pekebun kecil dan penorehgetah yang terlibat,” katanya. — Bernama

Advertisement