Anda di sini

14,500 peserta jayakan acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2016

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seramai 14,500 peserta bakal mengambil bahagian dalam upacara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2016 yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini.

Setiausaha Bahagian (Istiadat) Jabatan Perdana Menteri Datuk Kamis Samin berkata semua peserta itu akan terlibat dalam 10 jenis segmen persembahan dan perarakan.

“Kita ada 10 segmen iaitu kenegaraan, perkhidmatan awam, ekonomi, animasi, sukan, jati diri, ketenteraman awam, keselamatan negara, pertunjukan udara, dan segmen rakyat bersepadu,” katanya dalam Program Bual Bicara Mengenai Sambutan Hari Kebangsaan 2016 dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1, semalam.

Kamis berkata upacara perarakan bermula jam 8 pagi dengan segmen kenegaraan yang akan melibatkan penyertaan belia-belia membawa Jalur Gemilang dan juga bendera negeri-negeri sebagai permulaan kepada acara tersebut.

“Dalam segmen perkhidmatan awam, ia menampilkan penjawat awam bersama dengan persatuan suri-suri, iaitu orang yang di sebalik penjawat awam ini. Ia akan melibatkan tiga agensi iaitu Persatuan Suri & Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA), Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) dan juga Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Angkatan Tentera (BAKAT),” katanya.

Beliau berkata sebanyak 37 agensi melibatkan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan terlibat dalam perbarisan segmen ekonomi, diketuai oleh Khazanah Nasional.

“Bagi segmen animasi tahun ini kita akan menampilkan karakter BoBoi Boy, sangat menarik. Kita ada tiga belon gergasi yang akan dibawa oleh para peserta yang akan diarak semasa perarakan itu berlangsung.

“Para peserta dan penonton di rumah boleh menyaksikan belon gergasi itu diarak dan itu adalah sebahagian daripada ‘Wow Factor’ yang akan kami tampilkan tahun ini untuk menarik perhatian pengunjung terutamanya kanak-kanak,” katanya.

Selain itu, Kamis berkata tahun ini atlet-atlet negara akan turut berarak dalam upacara perbarisan bagi segmen sukan.

“Kita akan jadi tuan rumah bagi Sukan SEA pada tahun hadapan dan ini salah satu gimik atau teaser untuk rakyat tahu kita akan jadi tuan rumah. Kita akan ada penyertaan hero-hero kita di Rio (Olimpik Rio), Kementerian Belia dan Sukan mengambil inisiatif untuk melibatkan atlet-atlet dalam perarakan tahun ini dan mereka naik bus macam ‘Hop On Hop Off’.

“Selain itu, kira-kira 4,000 penyertaan daripada kanak-kanak sekolah juga akan terlibat bagi acara padang,” katanya.

Kamis berkata bagi tahun ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil giliran membuat persembahan istimewa di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menampilkan lebih banyak aset untuk pertunjukan udara seperti helikopter, jet pejuang, pesawat pelatih.

Katanya, upacara perarakan dan perbarisan akan berlangsung kira-kira dua jam dan berakhir pada 10 pagi.

“Kita menggalakkan orang awam untuk menggunakan perkhidmatan awam seperti LRT. Tidak jauh turun di (stesen) Masjid India, boleh berjalan kaki lagi mudah. Untuk mengelakkan kesesakan, lebih baik datang awal dan cari tempat yang strategik,” katanya. — Bernama

Advertisement