Anda di sini

Dakwaan pencabulan seksual di maahad tahfiz disiasat

Advertisement

Sekolah tersebut milik penceramah bebas terkemuka

 Abdul Rahim (dua kiri) menyampaikan Jalur Gemilang kepada Ketua Polis Daerah dan Ketua Jabatan sebagai simbolik majlis pelancaran Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Polis Diraja Malaysia Perak di IPK Perak, Ipoh semalam. — Gambar Bernama

JALUR GEMILANG: Abdul Rahim (dua kiri) menyampaikan Jalur Gemilang kepada Ketua Polis Daerah dan Ketua Jabatan sebagai simbolik majlis pelancaran Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Polis Diraja Malaysia Perak di IPK Perak, Ipoh semalam. — Gambar Bernama

IPOH: Pihak polis mengesahkan telah menerima laporan mengenai dakwaan pencabulan seksual di sebuah maahad tahfiz di sini yang dimiliki seorang penceramah bebas terkemuka.

Ketua Polis Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata setakat ini pihaknya telah mengambil keterangan daripada 10 individu termasuk pelajar, pengadu dan pihak sekolah terbabit.

“Memang ada laporan dibuat dan pihak polis sedang menjalankan siasatan dan akan melengkapkannya secepat mungkin.

“Dalam hal ini kita kena berhati-hati dan teliti serta menjaga semua aspek,” katanya kepada pemberita pada majlis Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Polis Diraja Malaysia Negeri Perak.

Abdul Rahim diminta mengulas mengenai viral menerusi WhatsApp baru-baru ini mengenai beberapa pelajar baharu di maahad tahfiz berkenaan yang dikatakan dicabul selain berlaku seks luar tabii.

Menurut Abdul Rahim, kes tersebut di siasat mengikut Seksyen 377E iaitu merangsang seorang kanak-kanak (di bawah 14 tahun) untuk melakukan sesuatu perbuatan kelucahan melampau yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin berkata pihaknya telah membuat lawatan ke mahaad tahfiz berkenaan beberapa hari lalu.

“Dalam lawatan itu, pegawai JAIPk telah menemuramah beberapa pelajar,” katanya.

Menurut Mohd Yusop walaupun berdaftar dengan JAIPk, segala urusan pentadbiran termasuk pengambilan pelajar dikendalikan sepenuhnya oleh maahad tahfiz berkenaan kerana ia merupakan institusi swasta.

Sementara itu pemilik maahad tahfiz berkenaan berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan dengan telus.

“Saya minta siasatlah dengan betul, tanpa berat sebelah kerana ini melibatkan soal pembelajaran anak-anak yang masih muda,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pemilik berkenaan yang kini berada di ibu negara berkata pihaknya bersedia pada bila-bila masa untuk memberi kerjasama kepada polis dalam menjalankan siasatan. — Bernama

Advertisement