Anda di sini

Tiga sahabat didakwa atas kes pergaduhan di pangsapuri

Advertisement

SHAH ALAM: Tiga sahabat dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini semalam, atas tujuh tuduhan berkaitan kes pergaduhan di Pangsapuri Rimba Jaya, Seksyen 16 di sini, awal bulan ini, termasuk melanggar seorang lelaki hingga boleh menyebabkan kematian.

Ketiga-tiga tertuduh, K.Rakesh, 25, dari Klang, P. Nanda Kumar, 23, dari Subang Jaya dan S. Satiish Kumar, 20, juga dari Klang bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan masing-masing dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil.

Di hadapan Hakim Rihaida Rafie, Nanda Kumar, bekerja sebagai kelindan lori, didakwa bersama-sama tiga lagi yang masih bebas melanggar Muhammad Amirul Irham Mohd, 22, menggunakan sebuah kereta Proton Saga FLX bernombor pendaftaran BMS 8856 yang mana boleh menyebabkan kematian mangsa, di tepi jalan berhampiran Blok A pangsapuri berkenaan, kira-kira jam 4 pagi, 6 Ogos.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, Satiish Kumar, bekerja sebagai pengawal keselamatan, didakwa menerima atau menyimpan harta curi iaitu sebuah motosikal jenis Yamaha Y125Z bernombor pendaftaran BMM 9512 milik Ramli Rahmat, 30, yang dipercayai hasil daripada rompakan berkumpulan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di No: 32, Jalan Seri Mersing 33, Taman Seri Andalas, Klang, kira-kira 12.30 pagi pada 8 Ogos dan didakwa mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Nanda Kumar dibebaskan dengan jaminan RM10,000 serta seorang penjamin sementara Satiish Kumar dibebaskan dengan jaminan RM8,000 serta dua penjamin dan mereka turut diperintah melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali serta dilarang mengganggu pengadu dan saksi.

Di hadapan Hakim Slamat Yahya, Rakesh, bekerja sebagai mekanik, didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas merompak motosikal Yamaha tersebut dengan bersenjatakan parang, di taman permainan kanak-kanak di pangsapuri berkenaan, kira-kira jam 4 pagi pada 6 Ogos.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Slamat membenarkan Rakesh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 serta seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis terdekat seminggu sekali selain melarang tertuduh mengganggu pengadu serta saksi.

Di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin, Rakesh didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Musthafa Harun, 53, dengan cara memukul dan menggunakan sebilah parang di kawasan tempat letak kereta di antara Blok A dan Blok B, pangsapuri berkenaan, kira-kira 3.45 pagi pada 6 Ogos.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, Rakesh dan Satiish Kumar turut menghadapi tiga pertuduhan bersama-sama melakukan khianat dengan cara memecahkan cermin hadapan dan pintu sebelah kanan kereta Ford Telsa milik Nadirah Hamran, 30, cermin belakang kereta Myvi milik Mohd Zamri Mahmed, 32, dan cermin hadapan kereta Proton Wira milik Shahrul Anuar Zamri, 33, di pangsapuri berkenaan, antara 8 pagi dan 11.17 malam, 6 Ogos. — Bernama

Advertisement