Anda di sini

Situasi dua beranak tinggal dalam khemah mendapat perhatian segera Fatimah

Advertisement
 Fatimah melihat Lim dan Sufian mengemas barang mereka untuk berpindah ke Anjung Singgah.

PINDAH SEGERA: Fatimah melihat Lim dan Sufian mengemas barang mereka untuk berpindah ke Anjung Singgah.

KUCHING: Situasi dua beranak yang tinggal di dalam sebuah khemah kecil yang didirikan di tapak penjaja di Siburan, dekat sini mendapat perhatian segera daripada Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Fatimah Abdullah, semalam.

Susulan itu, Lim Guat Eng, 55, dan anak lelakinya, Sufian Khong Abdullah, 33, yang sudah tinggal di situ sejak tiga bulan lepas kemudian terus dibawa berpindah ke Anjung Singgah di Jalan Rubber di sini untuk penginapan sementara yang lebih selesa.

Menurut Fatimah, langkah itu merupakan penyelesaian segera bagi membantu dua beranak tersebut yang berasal dari Lembah Klang, berdasarkan alamat kad pengenalan mereka dan telah datang ke Kuching sejak tiga tahun lepas.

“Ini bukan tempat untuk tinggal, ini tempat berjaja…maka itu kami pindahkan segera mereka ke Anjung Singgah.

“Sekurang-kurangnya di sana mereka dapat tinggal dengan lebih selesa kerana turut disediakan makan, minum selain tempat mandi dan tidur,” katanya ketika ditemui selepas melawat dua beranak tersebut, semalam.

Turut hadir Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan wakil-wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarat serta Pejabat Daerah Siburan.

Selain itu, Fatimah berkata pihaknya juga akan membantu mencari rumah kosong di Batu Gong untuk disewakan kepada dua beranak itu selain memberi bantuan segera sebanyak RM300 untuk mereka membeli barangan keperluan.

Bagaimanapun, beliau berkata siasatan lanjut akan dijalankan terlebih dahulu mengenai latar belakang Lim dan Sufian, yang mendakwa pernah tinggal di Kampung Semeru iaitu sebuah perkampungan Bidayuh di Padawan sebelum ini.

“Kes ini sangat rumit…selepas menjalankan siasatan, baharulah kami melihat langkah seterusnya untuk membantu mereka kerana kami perlu tahu dengan lebih lanjut tentang latar belakang mereka,” katanya.

Sementara, Sufian ketika ditemu bual telah menyuarakan rasa syukur atas keprihatinan Fatimah dalam membantu mereka.

“Saya terkejut tengok ramai orang datang, rupa-rupanya mereka melawat kami.

“Namun, saya gembira dan bersyukur kerana ada orang tampil menolong kami,” katanya.

Ditanya mengenai latar belakang keluarganya, Sufian berkata dia merupakan anak sulung daripada lima beradik manakala ayahnya bekerja di Kuala Lumpur.

“Adik-adik saya sudah bekerja dan ada juga yang masih bersekolah…mereka tinggal dengan nenek di Kampung Semeru,” katanya.

Menurutnya lagi, dia dan emaknya sebelum ini menjual sayur dan kuih-muih di Siburan namun disebabkan tidak ada tempat tinggal, mereka memilih untuk berteduh di dalam sebuah khemah di tapak penjaja di situ.

Advertisement