Anda di sini

Pelan strategik untuk mempertingkatkan Tabika KEMAS dilancar Oktober depan

Advertisement

// Oleh Adriana Mroon Ambrose //

 Awaludin (dua kiri) dan Ismail Sabri (tengah) pada majlis pelancaran Program Transformasi (FASA PERTAMA) Tabika KEMAS.

TRANSFORMASI: Awaludin (dua kiri) dan Ismail Sabri (tengah) pada majlis pelancaran Program Transformasi (FASA PERTAMA) Tabika KEMAS.

PAROI: Bagi meningkatkan kualiti 11,188 Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), satu pelan strategik akan dilancarkan Oktober depan.

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pelan strategik ini penting memandangkan masih ada lagi tabika yang tidak memiliki kemudahan sendiri sebaliknya menumpang di balai raya atau dewan orang ramai.

“Melalui pelaksanaan pelan strategik ini juga, kemudahan dan peralatan pembelajaran di Tabika KEMAS akan ditambah untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan.

“Untuk tahun ini, KEMAS menyediakan peruntukan sebanyak RM13 juta untuk membaik pulih bangunan tabika sedia ada yang kira-kira 80 peratus terletak di kawasan luar bandar,” katanya pada majlis pelancaran Program Transformasi (FASA PERTAMA) Tabika KEMAS di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, Negeri Sembilan.

Ditanya tentang Program Transformasi (FASA PERTAMA) Tabika KEMAS Ismail Sabri berkata, program itu merupakan salah satu transformasi yang dilakukan oleh Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk meningkatkan pembangunan modal insan dan meningkatkan kemudahan dan prasarana di Tabika KEMAS seluruh negara.

“Selain melahirkan kanak-kanak yang pintar, yakin diri, patriotik dan mampu bersaing, melalui transformasi ini juga mampu menjadikan Tabika KEMAS sebagai pilihan utama ibu bapa,” katanya lagi.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Dr Awaludin Said.

Advertisement