Anda di sini

Ceroboh Lahad Datu: Jabatan Peguam Negara fail rayuan

Advertisement

Hukuman penjara didakwa tidak setimpal dengan kesalahan

KUANTAN: Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang menjatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat terzadap sembilan penceroboh warga Filipina yang terlibat dalam serangan Lahad Datu.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata notis rayuan difailkan pada 27 Julai lalu, iaitu sehari selepas keputusan itu dibuat kerana berpendapat hukuman oleh Hakim Stephen Chung itu tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

“Dalam peruntukan undang-undang, kesalahan itu boleh dihukum mati. Jadi kita akan merayu supaya (mereka) dikenakan hukuman mati atau sekurang-kurangnya hukuman mati ke atas ketua mereka,” katanya.

Mohamed Apandi ditemui selepas merasmikan Persidangan Pendakwaan Tahun 2016 di Pusat Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini semalam, yang disertai 465 Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dari seluruh negara.

Pada 26 Julai lalu, Chung memerintahkan sembilan tertuduh dalam kes pencerobohan Lahad Datu menjalani hukuman penjara sepanjang hayat selepas didapati bersalah melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka ialah Atik Hussin Abu Bakar, 45, Basad H. Manuel, 41, Ismail Yasin, 76, Virgilio Nemar Patulada @ Mohammad Alam Patulada, 52, Salib Akhmad Emali, 63, Al Wazir Osman, 61, Tani Lahaddahi, 63, Julham Rashid, 69, dan Datu Amir Bahar Hushin Kiram, 53.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Apandi mengalu-alukan penubuhan Mahkamah Khas Siber bermula 1 Sept ini kerana dapat mempercepatkan perjalanan kes berkaitan jenayah siber yang lazimnya mengambil masa selama setahun untuk diselesaikan.

“Kami juga akan mengkaji keperluan untuk menubuhkan unit siber tetapi setakat ini, kami sudah mempunyai timbalan pendakwa raya di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Unit Komersial dan Siber yang diketuai Abdul Rashid Daud.

“Kami juga akan memberi latihan kepada timbalan pendakwa raya sedia ada bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka berkaitan undang-undang jenayah siber dengan memanggil pakar termasuk dari luar negara,” katanya.

Mohamed Apandi menambah pihaknya juga akan memberi nasihat berhubung siasatan jenayah siber kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana kesalahan jenayah siber merupakan antara kesalahan yang agak sukar dibuktikan.

Sementara itu, pada ucapannya Mohamed Apandi menegaskan beliau amat menitikberatkan soal integriti pegawai khususnya TPR dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas jika ada di antara mereka melakukan kesalahan rasuah.

“Jangan kita pula yang membuka pintu kepada mana-mana pihak untuk mencemarkan lagi nama baik Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Mohamed Apandi juga berharap semua TPR dapat menghadapi dugaan, cabaran dan ancaman dalam tugasan dengan baik dengan mencontohi semangat mendiang Datuk Anthony Kevin Morais yang ‘gugur semasa menjalankan tugas’. — Bernama

Advertisement