Anda di sini

Bersama pelihara alam sekitar, jaga harta awam

Advertisement

Jangan meletak tanggungjawab sepenuhnya di bawah pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan

// Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

BINTULU: Semua pihak perlu memikul peranan bersama memelihara alam sekitar dan menjaga harta benda awam dengan tidak meletak tanggungjawab sepenuhnya di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan.

Penolong Pengurus Besar (Khidmat Korporat) Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Sheikh Anuar Nasruddin Aminullah berkata, tanggunjawab itu perlu digerak bersama supaya visi untuk Bintulu mencapai bandar raya mesra industri dapat dilaksana dengan jayanya.

Dalam usaha itu katanya, BDA mewujudkan banyak taman di Bintulu bagi memastikan masyarakat dapat menikmati kemudahan disediakan untuk beriadah dan mengadakan pelbagai aktiviti.

“Dengan memperuntuk sumber kewangan tertentu untuk mewujudkan taman yang ada, BDA kadang-kadang berasa kecewa dengan tindakan laku musnah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Banyak vandalisme berlaku sehingga terpaksa menggunakan sumber kewangan lebih untuk kos membaik pulihnya,” katanya mewakili Pengurus Besar BDA Rodziah Morshidi merasmikan Program `Love Our Beach III’ dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara BDA dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kidurong untuk Projek Eko Komuniti di Pantai Tanjung Batu kelmarin.

Beliau berkata, untuk menangani masalah itu maka penglibatan masyarakat amat penting seperti yang digaris dalam sesi `Townhall’ anjuran BDA sebelum ini iaitu kesukarelaan, penglibatan awam dan kepolisan komuniti.

“Mustahil untuk BDA dapat bergerak sendiri dalam memelihara, menjaga alam sekitar dan kebersihan termasuk mencantikkan bandar ini melainkan melalui kerjasama semua pihak,” katanya.

Tegasnya, apa juga tindakan menyalahi undang-undang terutama melibatkan pembuangan sampah di kawasan sepatutnya perlu dicegah melalui kerjasama orang ramai dengan memaklumkan kepada BDA untuk sebarang tindakan.

Dalam pada itu, beliau menyatakan rasa kagum dengan usaha SMK Kidurong dalam kerja pemeliharaan, kebersihan alam sekitar dan projek pengindahan taman (kawasan Parkir 2 dan 3) di Pantai Tanjung Batu yang sebelum ini kerap dilakukan oleh syarikat-syarikat besar di bahagian ini.

“Usaha amat baik itu amat dialu-alukan memandangkan kami memerlukan para pelajar dan guru menjadikan Bintulu sebagai rumah dengan melibatkan diri dalam kerja kesukarelaan dan mendidik masyarakat dalam penjagaan alam sekitar untuk generasi kini dan masa depan,” katanya.

Terdahulu Pengetua SMK Kidurong Rosli Salleh berkata, memulihara alam sekitar perlu dibuat di peringkat awal dimulai dengan pendidikan di sekolah.

“Melalui usaha ini diharap generasi dilahir bukan hanya cemerlang akademik tetapi generasi cinta akan alam sekitar dan mementingkan kebersihan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menghargai kepercayaan diberikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu untuk SMK Kidurong mewakili Bintulu dan Sarawak ke pertandingan Toyota Eco Youth (TEY) Challenge 2016 Peringkat Kebangsaan anjuran uMW Toyota Motor dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Keseluruhannya 14 sekolah di Malaysia akan bertanding dalam TEY itu dan projek yang dibuat akan dihakimi pada 25 Ogos ini. Manakala lapan pelajar terbaik kami akan ke Kuala Lumpur untuk membentang dan mempamerkan projek yang telah dibuat,” katanya.

Beliau berharap penyertaan mereka akan mencapai kejayaan cemerlang melalui sokongan PBT BDA.

Sementara itu, pelbagai aktiviti diadakan dalam program di Pantai Tanjung Batu itu iaitu gotong-royong pembersihan kawasan taman, senamrobik, pelepasan `Eco Fun Ride’ dengan penyampaian mesej 3R (Reduce, Reuse, Recycle) sambil berbasikal, pameran dan sebagainya.

Turut hadir dalam program itu, Penyelia KoKurikulum PPD Bintulu Puyang Ngau Wan mewakili PPD Bintulu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Kidurong Saiful Bahari Atok, pengurus-pengurus kanan dan pegawai-pegawai kanan BDA.

Advertisement