Anda di sini

Maut dirempuh kereta

Advertisement
 Anggota bomba dan pasukan perubatan HUS bersama-sama mengangkat mangsa ke atas pengusung.

KEMALANGAN: Anggota bomba dan pasukan perubatan HUS bersama-sama mengangkat mangsa ke atas pengusung.

 Kereta dinaiki kedua-dua suspek yang dalam keadaan remuk dan retak cermin bahagian hadapan.

DIRAMPAS: Kereta dinaiki kedua-dua suspek yang dalam keadaan remuk dan retak cermin bahagian hadapan.

 Dua suspek dibawa ke One Stop Centre bagi membantu siasatan.

DITANGKAP: Dua suspek dibawa ke One Stop Centre bagi membantu siasatan.

Penunggang motosikal maut, pembonceng dikhuatiri mengalami kecederaan di bahagian tulang pinggang.

Oleh Sandy Mark Luna //

KUCHING: Seorang penunggang motosikal maut manakala pembonceng dikhuatiri mengalami kecederaan di bahagian tulang pinggang selepas dirempuh sebuah kereta dari belakang dalam satu kejadian di Jalan Tun Abang Haji Openg, kira-kira jam 12 tengah malam semalam (Ahad).

Mangsa yang berusia 20 tahun dikenal pasti sebagai Muhammad Fahmi Suhaili, meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak beberapa jam kemudian dipercayai akibat kecederaan parah dialami.

Insiden itu difahamkan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan menghantar rakannya yang berusia 18 tahun ke rumah di Matang Jaya apabila sebuah Perodua Viva yang dinaiki dua lelaki dikatakan hilang kawalan lalu melanggar mereka.

Menurut sumber, mangsa tercampak ke cermin hadapan sebelum dilanggar kenderaan tersebut.

Kereta itu dikatakan berhenti seketika sebelum memecut laju meninggalkan tempat kejadian.

“Seorang pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian itu cuba mengejar kereta Viva berkenaan dan apabila gagal, dia kemudiannya pergi ke balai polis berhampiran bagi memaklumkan insiden itu,” kata sumber.

Bertindak atas maklumat, polis memulakan pencarian sekitar kawasan Satok dan menemui dua lelaki berkenaan dan kereta dinaiki berhampiran Kampung Kudei.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata pemandu cuba melarikan diri tetapi dapat ditahan polis.

“Mereka dibawa ke balai untuk siasatan di mana pemandu telah membuat laporan berhubung kejadian,” katanya.

Anggota bomba turut berada di tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran pada motosikal mangsa.

Advertisement