Anda di sini

Satu per empat rakyat Malaysia hidap diabetes

Advertisement

Sebanyak 20 peratus rakyat Malaysia 18 tahun ke atas menderita akibat penyakit ini: KM

 Teo (empat kiri) menyempurnakan gimik perasmian Persidangan Penjagaan Luka Borneo Utara 2016 kelmarin.

JAGA KESIHATAN: Teo (empat kiri) menyempurnakan gimik perasmian Persidangan Penjagaan Luka Borneo Utara 2016 kelmarin.

KOTA KINABALU: Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga (HNHMS III) serta Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS) mengesahkan bahawa kira-kira satu per empat rakyat negara ini adalah pesakit kencing manis.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, sebanyak 20 peratus daripada kelompok rakyat Malaysia berumur atas 18 tahun sedang menderita akibat penyakit ini.

Katanya, Kumpulan Kerja Antarabangsa mengenai kaki diabetes juga melaporkan bahawa setiap 20 saat, kaki pesakit kencing manis akan dipotong dan masalah itu amat membimbangkan seluruh dunia.

“Penjagaan luka semakin menjadi beban besar di semua negara, apatah lagi jika melibatkan kos rawatan yang kini melambung tinggi sehingga memberi kesan kepada ekonomi dunia.

“Justeru, usaha penjagaan dan penyembuhan luka pesakit perlu dilaksana secara berterusan bagi mencegah komplikasi seperti amputasi (kehilangan anggota tubuh) dan kehilangan nyawa,” katanya pada perasmian Majlis Persidangan Penjagaan Luka Borneo Utara 2016 , di sini kelmarin.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Teo Chee Kang.

Selain itu katanya, pesakit kencing manis mudah mengalami kesakitan serta kemurungan dan situasi ini memerlukan sokongan psikologi dan pengurusan luka yang baik.

Katanya, antara kaedah rawatan yang sesuai termasuklah mengawal pengambilan gula, senaman serta pendekatan pelbagai disiplin mengenai penjagaan luka.

Terdahulu, lebih 21 negara menyertai persidangan berkenaan yang melibatkan kira-kira 900 peserta termasuklah wakil penceramah dan juga wakil dari pelbagai industri.

Mengambil tema kepelbagaian dalam bangsa, Musa berkata, ia bersesuaian untuk menggambarkan suasana pelbagai latar belakang yang bersatu dalam usaha menyebarkan cara pengurusan luka yang baik.

Katanya, pelbagai jenis luka dibincangkan bersama pada persidangan berkenaan seperti ulser diabetes kaki, kecederaan akibat tekanan, ulser vena, ulser Arteri, luka akibat melecur, stoma dan banyak lagi.

Katanya lagi, persidangan itu juga memberi ruang kepada para peserta untuk bertukar idea, pengalaman dan pengetahuan kritikal dalam membendung penyakit kritikal itu.

Hadir sama Pengarah Kesihatan negeri Sabah Dr Chrisrina Rundi dan Presiden Persatuan Luka Profesional Malaysia (MSWCP) Dr Harikrishna K.R Nair.

Advertisement