Anda di sini

Kerajaan jamin terus komited sokong usaha pelancongan

Advertisement

Tumpu kepada pelancong yang mendatangkan hasil tinggi

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan untuk terus komited mempergiatkan rancangan masa depan, persediaan dan pelaksanaan pelbagai usaha bagi menarik kehadiran pelancong secara besar-besaran ke Malaysia, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Kesemua usaha itu akan menyokong Rancangan Malaysia Kesebelas, yang menggariskan tumpuan menarik pelancong yang mendatangkan hasil tinggi bagi meningkatkan lagi sumbangan industri pelancongan kepada ekonomi.

“Kerajaan berharap segmen itu akan muncul sebagai satu daripada sumber baharu pertumbuhan untuk industri pelancongan, yang dapat dimanfaatkan usahawan tempatan dan rakyat dari segi penyediaan pelbagai peluang pekerjaan dan membawa kesan limpahan kepada ekonomi tempatan,” menurut MoF dalam satu kenyataan semalam.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz mempengerusikan kumpulan fokus mengenai industri pelancongan untuk mendapatkan input bagi penyediaan Bajet 2017, yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 21 Okt, 2016.

Kumpulan fokus itu melibatkan pemegang kepentingan utama termasuk industri, organisasi profesional, dewan perniagaan, organisasi bukan kerajaan dan agensi kerajaan untuk berkongsi pandangan mereka dalam menyediakan input berhubung pelancongan.

“Industri pelancongan merupakan sektor perolehan tukaran asing kedua terbesar, menyumbang kepada lebihan akaun semasa,” menurut kementerian itu.

Menurut MoF, Malaysia merupakan negara tropika yang indah di samping mempunyai banyak produk unik lagi menarik, bagi menawarkan pengalaman berharga dan terbaik kepada pelancong.

Susulan daripada Mesyuarat Perundingan Bajet 2017 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 16 Jun, 2016, MoF akan terus melibatkan pemegang kepentingan relevan bagi mendapatkan input dalam penyediaan bajet berkenaan melalui kumpulan fokus.

Menurut MoF, justeru itu beberapa mesyuarat kumpulan fokus dijadual diadakan sepanjang Ogos, dengan kumpulan kecil untuk mendapatkan pandangan dan syor mengenai perkara khusus.

Mesyuarat kumpulan fokus pertama mengenai kos sara hidup dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani pada 1 Ogos, 2016. — Bernama

Advertisement