Anda di sini

Program Hibur dan Labur PNB 360 mendapat sambutan di Betong

Advertisement

// Oleh Saleman Senin //

 Kanak-kanak yang terlibat dalam pertandingan mewarna  Program Hibur dan Labur PNB 360 di Dewan Panglima Rentap Betong baru-baru ini.

PERTANDINGAN MEWARNA: Kanak-kanak yang terlibat dalam pertandingan mewarna
Program Hibur dan Labur PNB 360 di Dewan Panglima Rentap Betong baru-baru ini.

PROGRAM Hibur dan Labur PNB 360 anjuran Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) Cawangan Sri Aman mendapat sambutan yang menggalakkan apabila aktiviti yang diterapkan melalui sekolah diterima baik oleh guru-guru, ibu bapa dan pelajar di daerah ini.

Program yang berkonsepkan pendidikan dan pendedahan cara-cara menabung menyaksikan golongan terbabit memberi kerjasama baik sepanjang aktiviti diadakan di Dewan Panglima Rentap Betong baru-baru ini.

Tiga buah sekolah rendah di sekitar Betong yang merangkumi Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Abdul Kadir, SK Saint Augustine dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Betong telah menyertai aktiviti yang dianjurkan dalam suasana meriah dengan penyertaan seramai 350 pelajar dalam pertandingan mewarna yang diadakan.

Seramai 10 peserta dalam setiap kategori masing-masing telah dipilih untuk menerima hadiah yang disediakan oleh penganjur dalam pertandingan mewarna di mana kategori yang dipertandingkan ialah 4 hingga 6 tahun, 7 hingga 9 tahun dan 10 hingga 12 tahun.

Pada masa sama ibu bapa yang mengiringi anak masing-masing didedahkan dengan ilmu pelaburan yang disampaikan dalam Seminar Pelaburan 360 yang turut dianjurkan melalui aktiviti yang disediakan.

Ibu bapa tidak terkecuali mendapat hadiah apabila mereka yang menghadiri seminar diberikan tiket cabutan bertuah untuk memenangi hadiah barangan dan hamper.

Hadiah-hadiah tersebut disampaikan oleh Pengurus Cawangan ASNB Sri Aman setelah selesai aktiviti yang diadakan.

Sementara itu ramai kalangan ibu bapa yang masih kabur dalam ilmu pelaburan telah mendapat manfaat daripada program yang diadakan apabila mereka membuka akaun untuk anak masing-masing dan tidak terkecuali untuk mereka sendiri.

Bagi sesetengah ibu bapa, mereka amat bersetuju dengan program yang dianjurkan dengan pendedahan serta memberi manfaat yang berguna demi masa depan anak masing-masing sekali gus mengharapkan program berkaitan dianjurkan sekurang-kurangnya setiap tahun.

Advertisement