Anda di sini

Wanita PKR akan terus memperkasa jentera parti menghadapi PRU

Advertisement

KUCHING: Pergerakan Cabang Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan terus memperkasa jentera parti sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum nanti.

Timbalan Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha berkata persiapan itu termasuk menjalin kerjasama dengan parti lain menerusi Pakatan Harapan bagi berjuang mengambil alih kerajaan.

“Kita telah memulakan perbincangan dengan pihak lain dan yakin ia memberi kelebihan kepada kita untuk memenangi pilihan raya umum.

“Di peringkat kebangsaan, kita juga telah memulakan perbincangan dengan DAP,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Cabang Wanita PKR Sarawak di Ibu Pejabat PKR di sini, semalam.

Mengulas lanjut, katanya setelah menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sarawak dan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, ia ternyata memberi pengajaran kepada Pakatan Harapan supaya  bersatu padu.

“Dengan tempoh masa yang ada ini, kita mempunyai masa untuk merangka strategi bagi menghadapi PRU nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar orang ramai tidak terpengaruh dengan cubaan memburukkan nama baik Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang dikatakan memiliki kereta mewah atas namanya.

Katanya, tuduhan itu hanya bertujuan untuk memecahbelahkan parti tersebut  dan pihaknya berikrar akan terus berdiri teguh di belakang ketua mereka.

Sementara itu, Ketua Cabang Wanita PKR Sarawak, Nurhanim Hanna Mokhsen menjelaskan pihaknya akan menggerakan lawatan ke setiap Cabang Wanita PKR di seluruh negeri.

“Kita akan melaksanakan lawatan ke setiap cabang, bagi memperkukuhkan kekuatan jentera parti menjelang PRU,” katanya.

Advertisement