Anda di sini

Pertimbangkan kemudahan Skim Rumah Pertamaku

Advertisement

11 bank komersial, institusi kewangan Islam menyertai SRP

KUALA LUMPUR: Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) semalam menggesa kalangan pembeli rumah pertama supaya mempertimbang untuk memohon pelbagai kemudahan disediakan kerajaan seperti Skim Rumah Pertamaku (SRP) dalam usaha memiliki hartanah.

Dalam satu kenyataan, ABM berkata masing-masing 11 bank komersial dan institusi kewangan Islam di Malaysia menyertai skim berkenaan dan maklumat mereka tersenarai di laman web rasmi SRP.

“Pembeli dinasihati supaya mengelak daripada mengambil lebih banyak kredit yang berkemungkinan tidak wajar dari segi jangka panjang selain hanya memberi tekanan kewangan buat mereka.

“Ia juga mungkin mengandungi kos tersembunyi atau caj yang tidak ketara,” kata persatuan itu.

Menurut ABM, secara amnya, para pembeli rumah sudah diingatkan mengenai pelbagai pilihan kewangan untuk mereka.

Malah, bank-bank komersial yang menawarkan kemudahan pinjaman turut menimbang pelbagai faktor berbeza ketika proses saringan permohonan pinjaman perumahan, katanya.

“Perniagaan bank-bank komersial adalah pinjaman atau pemberian kredit dan pada masa sama (perlu) mematuhi keperluan atau garis panduan ditetapkan badan kawal selia,” katanya.

ABM juga menyarankan para peminjam untuk membuat penilaian sendiri berdasarkan kemampuan diri melunaskan bayaran pinjaman sebelum membeli hartanah.

“Bagi menilai kemampuan untuk pinjaman perumahan, individu perlu menimbang aspek pembayaran pinjaman secara bulanan serta komitmen monetari jangka panjang lain seperti pinjaman sewa beli agar tidak melebihi 40 peratus daripada pendapatan kasar bulanan,” katanya.

Pemohon pinjaman perumahan juga dinasihati supaya berbincang dengan pihak kewangan masing-masing bagi sebarang kemudahan yang dipohon bagi memastikan pengurusan kewangan lebih baik di pihak pengguna.

ABM mempunyai 27 ahli, merangkumi bank-bank komersial yang beroperasi di dalam negara dengan objektif utamanya untuk mewujud serta menggalakkan kelancaran sistem perbankan dari segi kerjasama dan perundingan dengan pihak pengawal selia. — Bernama

Advertisement