Anda di sini

Pasangan buta terima sumbangan bantu operasi pusat urutan

Advertisement
 Lee (lima kanan) ketika menyerahkan kelengkapan baharu kepada Asui (tengah) dan Diana (lima kiri).

TERIMA KASIH: Lee (lima kanan) ketika menyerahkan kelengkapan baharu kepada Asui (tengah) dan Diana (lima kiri).

MIRI: Pasangan cacat penglihatan Asui Muling, 34 dan Diana Lai, 28, semalam mengucapkan ribuan terima kasih atas bantuan Menteri Muda Pelancongan Datuk Lee Kim Shin  kerana memberi sumbangan untuk perniagaan mereka sekali gus membolehkan mereka berdikari.

Pasangan berkenaan telah membuka pusat urutan sejak empat tahun lalu, sebelum ini dalam serba kekurangan dan pada masa sama menanggung kos sewa dan bil elektrik serta bayaran lain.

“Kami berdua mempunyai pendapatan bersih kira-kira RM800 sebulan setelah ditolak  kos sewa (RM800) dan bil lain,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Pasangan tersebut juga mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun iaitu Alisia Madelina yang kini dijaga oleh kakak Asui.

Semalam, Lee menyerahkan bantuan peralatan yang baharu kepada Asui bagi operasi perniagaan urutannya itu yang bernilai sekitar RM5,000.

Ini termasuk bantal, katil urutan, mesin basuh, televisyen baharu dan beberapa lagi kelengkapan menjalankan perniagaan yang terletak di Desa Indah 3, Permyjaya.

“Kita amat bersyukur kerana beliau sudi menghulurkan bantuan untuk kami terus menjalankan perniagaan kami dan seterusnya berdikari,” jelas Asui lagi.

Beliau pada masa sama menggalakkan orang kurang upaya (OKU) untuk bersama berdikari sepertinya.

“Semua bantuan dari segi kursus, pensijilan hinggalah kelengkapan ada orang yang bakal membantu. Terpulang kepada diri sendiri sama ada mahu atau tidak (berniaga) sahaja,” ujarnya.

Beliau mempunyai pengalaman selama 16 tahun mengurut, sebelum ini bekerja di pusat urutan buta di sebelah premisnya selama 10 tahun.

Sementara itu, Lee yang bercakap selepas majlis penyerahan itu berkata ia adalah salah satu bantuan membolehkan OKU seperti Asui dan isterinya berdikari.

“Kerajaan sememangnya gembira jika dapat bantu terutama bagi OKU seperti mereka ini untuk berdikari,” kata Lee.

Melalui bantuan dihulurkan, Lee berharap mereka dapat menjalankan perniagaan dengan kemudahan lengkap dan selesa.

Advertisement