Anda di sini

DBKU dibantu urus pembangunan kawasan tadbirannya

Advertisement

Pembangunan yang dirancang itu harus beri keutamaan terhadap impak kepada rakyat: Abg Johari

// Oleh Jessica Jawing //

 Abang Johari (dua kanan) bersama Abang Abdul Wahap (tiga kanan), Dr Abdul Rahman (kanan), Hasidah (empat kanan) dan Fazzrudin (lima kanan) serta yang lain semasa sidang media selepas mesyuarat di Kuching, semalam.

SIDANG MEDIA: Abang Johari (dua kanan) bersama Abang Abdul Wahap (tiga kanan), Dr Abdul Rahman (kanan), Hasidah (empat kanan) dan Fazzrudin (lima kanan) serta yang lain semasa sidang media selepas mesyuarat di Kuching, semalam.

KUCHING: Kerajaan negeri melalui Kementerian Perumahan dan Urbanisasi membantu Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menguruskan pembangunan di kawasan tadbirannya dalam tempoh lima tahun akan datang.

Timbalan Ketua Menteri juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, pembangunan yang dirancang itu harus memberi keutamaan terhadap impak kepada rakyat.

Menurutnya DBKU sebelum ini sememangnya telah menguruskan pentabdiran dengan amat baik sejak ditubuhkan pada 1988 dan ia merupakan satu jangka masa yang panjang dengan cabaran lebih berbeza kini.

“Kerajaan negeri akan membantu DBKU dengan keutamaan pembangunan yang memberi impak kepada rakyat.

“Saya telah mencadangkan supaya jalinan kerjasama antara pihak merancang dengan DBKU yang memberi impak kepada rakyat harus dibuat dan perlu ada kerjasama antara wakil rakyat dan pihak berkkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama DBKU yang dihadiri Datuk Bandarnya Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, wakil rakyat di kawasan DBKU, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semariang Sharidah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman, ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi dan ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni di sini, semalam.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata, antara cabaran yang dihadapi DBKU kini adalah demografi serta tahap jangkaan rakyat yang semakin bertambah selain kawasannya semakin berkembang, terutama di Matang.

“Disebabkan perkara ini saya seperti yang diarahkan Ketua Menteri mencari cara baharu untuk kita menghadapi cabaran dalam pembangunan bandar secara menyeluruh.

“Kebanyakan kawasan di bawah DBKU adalah  kawasan peralihan dari kampung ke bandar yang memerlukan kita ada pendekatan dan boleh diterima rakyat,” katanya sambil memberitahu bahawa antara aspek yang harus dilihat termasuk ekonomi, kebersihan, kecantikan dan sosial pelbagai kaum.

Jelas beliau, kerajaan sememangnya memberi keutamaan kepada pembangunan di luar bandar namun pada masa yang sama keperluan masyarakat di bandar akan diambil kira.

Kini katanya, populasi di kawasan DBKU menjangkau 250,000 orang dan antara kawasan paling ketara pesat membangun adalah di Matang.

Untuk pembangunan terancang kata beliau, pihak berkuasa perlu merancang seperti menyediakan bajet tertentu bagi projek pembangunan sama ada jalan atau sebagainya.

Advertisement