Anda di sini

Platform perniagaan digital mungkin dikenakan cukai

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan untuk mengenakan cukai ke atas platform perniagaan digital bagi mewujudkan persaingan yang adil antara perniagaan dalam talian dan bukan talian, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, syarikat yang menyedia platform perniagaan digital menjana pendapatan berbilion ringgit, namun tidak membayar cukai disebabkan ketiadaan struktur percukaian untuk perniagaan jenis ini.

“Kerajaan bukan tidak mahu menggalakkan mereka, namun mahu mewujudkan peluang yang sama rata untuk semua pihak yang menjalankan perniagaan di Malaysia, dan mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2016 di sini semalam.

Bagaimanapun beliau berkata, pengenaan cukai sedemikian boleh membantutkan pertumbuhan kebanyakan perniagaan kecil.

“Jika anda mengenakan cukai ke atas mereka, anda menyukarkan mereka untuk berkembang. Saya berpendapat anda tidak seharusnya mengganggu perniagaan kecil yang mahu melakukan perniagaan dalam talian,” katanya.

Dalam ucapan sebelum itu, Johari berkata kerajaan telah membentuk satu kumpulan untuk mengkaji perkembangan percukaian dalam ekonomi digital dan perkongsian.

“Keutamaan kami adalah untuk memastikan persaingan yang adil bagi perniagaan berasaskan produk Malaysia yang mungkin mendapat kesan buruk daripada syarikat digital asing yang menjual terus kepada pelanggan, dan membekalkan perkhidmatan digital dan produk dalam talian tetapi tidak membayar cukai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata Lembaga Hasil sedang memantau rapat perkembangan ekonomi digital yang dijangka menyumbang 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) negara selewat-lewatnya pada 2020.

Beliau berkata ekonomi digital telah memperlihatkan kemunculan perkhidmatan rangkaian pengangkutan dalam talian, Uber, perkhidmatan penstriman video dalam talian, Netflix, pasaran dagangan dalam talian, Alibaba, dan perkhidmatan penyewaan rumah percutian dalam talian, Airbnb.

Akan datang, beliau berkata wang tunai digital, mata wang maya atau mata wang elektronik atau crypto yang beroperasi secara bebas dari mana-mana bank pusat, dijangka menjadi popular.

“Kami sedang mengkaji aktiviti perniagaan ini untuk memasukkan mereka dalam jaringan percukaian.

“Bagaimanapun, pada peringkat awal, ia memerlukan infrastruktur yang sewajarnya dari segi teknologi, keupayaan organisasi dan rangka kerja perundangan yang berkaitan untuk memudahkan usaha kami,” katanya.

Bertemakan ‘Memperluaskan Perspektif, Meningkatkan Asas Percukaian’, seminar dua hari bermula semalam itu mengumpul lebih 2,000 peserta yang terdiri daripada profesional, terutama pengamal cukai, akauntan, juruaudit, ahli korporat dan akademik untuk berbincang dan seterusnya meningkatkan pemahaman tentang isu cukai dan ekonomi. — Bernama

 

Advertisement