Anda di sini

RM20 juta laksana Projek Pembangunan Pengeluaran Tanaman Nanas di Sarawak

Advertisement
 Samsolbari menyampaikan cenderamata kepada Uggah selepas merasmikan Pelancaran Program Banci Tanaman Nanas di Sarawak 2016 di Kota Samarahan, semalam.

PENGHARGAAN: Samsolbari menyampaikan cenderamata kepada Uggah selepas merasmikan Pelancaran Program Banci Tanaman Nanas di Sarawak 2016 di Kota Samarahan, semalam.

KOTA SAMARAHAN: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk melaksanakan Projek Pembangunan Pengeluaran Tanaman Nanas di Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) 2016-2020.

Pengerusi LPNM Datuk Samsolbari Jamali berkata pembangunan dan pengukuhan tanaman nanas di Sarawak amat diperlukan bagi memenuhi permintaan pasaran dunia dengan tambahan sebanyak 100 kontena sebulan.

“Sarawak mempunyai tanaman nanas kedua terbesar selepas Johor dengan keluasan 1,805 hektar bagi tahun semasa di mana sejak kemasukan LPNM ke Sarawak, produktiviti telah meningkat daripada 17 tan metrik per hektar kepada 29 tan metrik per hektar pada 2015 dengan peningkatan sebanyak 70 peratus.

“Justeru, LPNM menyasarkan peningkatan produktiviti yang lebih tinggi menjelang 2020 iaitu sebanyak 45 tan metrik per hektar dengan penggunaan tanah secara optimum.

“Maka sebagai permulaan, LPNM telah memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta untuk melaksanakan program tersebut di Sarawak pada tahun ini,” katanya pada Majlis  Pelancaran Program Banci Tanaman Nanas di Sarawak 2016 di sini, semalam.

Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan turut dihadiri Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang serta Ketua Pengarah LPNM Sahdan Salim.

Samsolbari menambah, keupayaan pengembangan industri nanas di Sarawak juga akan membantu dalam peningkatan pendapatan pekebun kecil daripada RM1,500 kepada RM3,500 sebulan.

Sementara itu, Sahdan dalam sidang media menjelaskan  bahawa Projek Pembangunan Pengeluaran Tanaman Nanas di Sarawak juga akan menumpukan kepada penanaman varieti baharu yang bernilai tinggi iaitu MD2.

Menurutnya, nanas MD2 adalah berbeza dengan nanas jenis lain termasuk nanas terkenal di Sarawak iaitu Nanas Sarikei dan Nanas Sawit, di mana ia boleh dieksport ke luar negara.

“Nanas MD2 mempunyai daya tahan untuk sejuk beku dan maka itu ia boleh dieksport berbanding nanas lain sama ada Nanas Sarikei atau Nanas Sawit yang tidak boleh disejuk beku,” katanya.

Program banci tanaman nanas di Sarawak merupakan julung kali diadakan yang melibatkan seramai 719 pengusaha nanas di seluruh negeri yang akan bermula pada 8 Ogos hingga 30 September 2016.

Objektif bancian dijalankan adalah untuk mengumpul maklumat perangkaan yang menyeluruh berkaitan industri nanas Sarawak.

Advertisement