Anda di sini

Pergerakan balak perlu disertai ‘Removal Pass’

Advertisement

KM arah sebarang balak dipindah keluar tanpa ‘Removal Pass’ dirampas meskipun telah dinilai royalti

//Oleh Agnes Tugong //

 Awang Tengah mempengerusikan mesyuarat pertama Pasukan Pertugas Pembalakan Haram bagi tahun 2016 di Wisma Sumber Alam, Petra Jaya, Kuching, semalam.

MESYUARAT: Awang Tengah mempengerusikan mesyuarat pertama Pasukan Pertugas Pembalakan Haram bagi tahun 2016 di Wisma Sumber Alam, Petra Jaya, Kuching, semalam.

KUCHING: Ketua Menteri merangkap Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar telah mengarahkan sebarang balak yang dipindah keluar tanpa ‘Removal Pass’ akan dirampas meskipun telah dinilai royalti.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata arahan tersebut telah dikeluarkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada 1 Ogos lepas.

Manakala pemegang lesen atau tertuduh akan dikompaun sewajarnya di bawah Seksyen 86 Ordinan Hutan, 2015 dan balak yang disita dalam kes ini tidak akan dikembalikan kepada pemegang lesen.

“Keperluan bagi memperolehi Removal Pass telah diperuntukkan dalam Peraturan Hutan 1962 dan peraturan ini perlu dipatuhi oleh pemegang lesen kayu balak.

“Pergerakan kayu balak perlu disertai dengan Removal Pass dan tanpa pas ini kayu balak tidak boleh dikeluarkan,” kata Awang Tengah pada mesyuarat Pasukan Petugas Pembalakan Haram di Wisma Sumber Alam di sini, semalam.

Mesyuarat tersebut merupakan yang pertama bagi tahun 2016 dan turut dihadiri Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Datu Sudarsono Osman serta pihak berkepentingan yang lain.

Terdahulu pada mesyuarat itu Awang Tengah berkata, sejak penubuhan Pasukan Petugas ini pada 2015, beberapa keputusan dan tindakan telah diambil bagi menambah baik dan memantapkan usaha membanteras pembalakan haram di negeri ini.

Antaranya, mengkaji dan menambah baik prosedur sedia ada di agensi perhutanan dan agensi-agensi penguat kuasa lain seperti Lembaga Pelabuhan Miri berkaitan eksport balak di agensi mereka.

Selain itu, Pasukan Petugas yang dipengerusikan Awang Tengah ini juga telah memutuskan bahawa operasi bagi membanteras pembalakan haram di lapangan adalah diketuai Jabatan Hutan.

Ini adalah bagi memastikan semua dokumen yang diperlukan serta prosedur yang telah ditetapkan telah dipatuhi sebelum pergerakan balak dibenarkan memasuki rantaian penjagaan.

“Kita menyambut baik usaha dan komitmen agensi penguatkuasaan lain atas usaha mereka dalam membanteras pembalakan haram dan perdagangan balak serta produk kayu haram.

“Bagaimanapun, pengisytiharan nilai balak yang dirampas hendaklah berdasarkan anggaran nilai yang dibuat oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA).

“Ini selaras dengan keputusan Pasukan Petugas yang mana nilai balak rampasan adalah berdasarkan anggaran nilai dibuat oleh PUSAKA bagi memastikan hanya satu angka dikeluarkan bagi mengelak kekeliruan,” katanya.

Advertisement