Anda di sini

Larang pelajar bawa telefon bimbit selesai masalah main Pokemon Go

Advertisement

KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) berkata asas kepada usaha menangani isu pelajar bermain aplikasi permainan Pokemon atau Pokemon Go di kawasan sekolah ialah melarang keras pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah.

Yang Dipertua KGBS Ahmad Malie berkata selagi peraturan itu tidak diperketatkan permainan itu akan terus menular di sekolah-sekolah.

“Selama ini KBGS menegaskan larangan membawa telefon bimbit atau telefon pintar ke sekolah mesti diperketatkan namun sehingga kini nampaknya larangan itu tidak dipatuhi dan bukti terkini pelajar bermain permainan Pokemen Go di dalam kawasan sekolah.

“Dalam hal ini, guru juga tidak mempunyai hak untuk melarang pelajar membawa telefon ke sekolah kerana tiada peraturan apatah lagi undang-undang yang boleh melindungi mereka jika larangan tegas itu dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ahmad yag juga pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Sarawak berkata jika telefon bimbit pelajar disimpan oleh guru dan hilang, maka tiada pihak akan bertanggungjawab, yang dipersalahkan ialah guru.

“Melihat akan situasi demikian, maka kebanyakan guru tidak mahu membebankan diri demi menegaskan larangan membawa telefon bimbit ke sekolah dalam kalangan pelajar.

“Oleh itu, bagi memastikan pelajar tidak terjebak dengan permainan ini di kawasan sekolah, KGBS menegaskan peraturan larangan membawa telefon bimbit ke sekolah mesti diperketatkan terlebih dahulu, “ tegasnya.

Jika tidak tambahnya, usaha untuk menangani isu berkenaan tidak akan berjaya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid iaitu permainan Pokemon dan Pokemon Go tidak dibenarkan dimainkan dalam kawasan sekolah.

Mahdzir dipetik sebagai berkata perkara itu selaras dengan larangan terhadap pelajar membawa telefon pintar atau telefon bimbit ke sekolah yang berkuat kuasa selama ini.

“Sejak dahulu kita memang tidak membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah tapi dengan trend permainan siber ini sekarang, kita mahu pihak sekolah lebih tegas.

“Guru perlu merampas telefon bimbit pelajar kita jika dikesan menggunakannya untuk bermain permainan siber itu,” kata Mahdzir.

Advertisement