Anda di sini

Belia Tawau teruja sertai Kembara Super Bikers semarak Bulan Kebangsaan

Advertisement

TAWAU: Dua puluh dua belia Tawau yang menyertai Konvoi Kembara Super Bikers melahirkan perasaan gembira dan teruja kerana dapat bersama-sama menyemarakkan Bulan Kebangsaan dan kempen kibar Jalur Gemilang di daerah-daerah berhampiran, semalam.

Belia berumur dalam lingkungan 25 hingga 45 tahun itu merupakan anggota daripada tiga kumpulan motosikal berkuasa besar di sekitar Tawau iaitu Pelesit, Tawau UMNO Group dan TZM Bikers.

Jurucakap kumpulan belia itu, Mohd Adam Shah Sudin berkata mereka mengetahui mengenai program itu pada 20 Julai lalu dan seterusnya berusaha mengumpul rakan-rakan yang berminat untuk bersama-sama menyertai sekali gus memeriahkan konvoi berkenaan.

“Setelah mengetahui adanya Konvoi Kembara Super Bikers sempena Bulan Kebangsaan, saya dan beberapa rakan lain membatalkan rancangan untuk ke acara motosikal berkuasa besar di Beaufort kerana kami ingin menjadi sebahagian yang menjayakan hari pelancaran itu.

“Kami amat teruja dan semangat sememangnya berkobar-kobar menyertai konvoi ini bagi mengedarkan Jalur Gemilang dan bersama-sama mengibarkan bendera negara kita pada Bulan Kebangsaan ini,” katanya ketika ditemui Bernama sebelum memulakan konvoi itu di sini semalam.

Konvoi Kembara Super Bikers itu merupakan siri kedua jelajah anjuran Jabatan Penerangan sempena Hari Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat kebangsaan 2016 yang dijadual berlangsung malam ini, di sini.

Konvoi yang memulakan perjalanan pada jam 8.30 pagi semalam bagi membawa misi patriostisme itu menjelajah tiga daerah di kawasan Pantai Timur Sabah iaitu Kunak, Semporna termasuk Tawau diketuai oleh Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Majlis pelepasan konvoi itu disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas di perkarangan Wisma Persekutuan Tawau, di sini.

Berucap pada majlis itu, Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia, khususnya di Tawau, untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sebagai bendera Malaysia yang menjadi simbolik maruah dan kedaulatan negara.

Selain Konvoi Kembara Super Bikers, Ibrahim berkata  Konvoi Kembara Jalur Gemilang yang menggunakan kenderaan meneruskan perjalanan mereka di sekitar Tawau bagi menghebahkan mengenai sambutan hari pelancaran Bulan Kebangsaan termasuk menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di kawasan Tanjung Batu, Tawau. — Bernama

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Penerangan (Pengurusan) Datuk Almain Ajirul dan Pemangku Pengarah Penerangan Sabah Yunus Saprin. — Bernama

Advertisement