Anda di sini

Penumpang diarah keluar pesawat gara-gara ‘bom’

Advertisement

Penumpang timbulkan gangguan ditahan pihak berkuasa

 Pesawat AirAsia AK423 yang berlepas ke Banda Acheh dari klia2 terpaksa berpatah balik semula ke lapangan terbang itu ekoran ancaman bom daripada seorang penumpang pesawat di Sepang, semalam. — Gambar Bernama

ANCAMAN BOM: Pesawat AirAsia AK423 yang berlepas ke Banda Acheh dari klia2 terpaksa berpatah balik semula ke lapangan terbang itu ekoran ancaman bom daripada seorang penumpang pesawat di Sepang, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Ancaman bom di dalam sebuah pesawat AirAsia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini, memaksa semua penumpangnya dikeluarkan dari pesawat.

AirAsia dalam kenyataan semalam mengesahkan pesawat penerbangan AK423 yang dijadualkan dari Kuala Lumpur ke Banda Acheh, Indonesia pagi semalam, ditangguhkan penerbangannya untuk pemeriksaan keselamatan berikutan ancaman bom yang ditimbulkan oleh penumpang pesawat itu.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, carian bom itu dijalankan pihak berkuasa dan situasi berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard apabila berdepan dengan keadaan seperti itu,” menurut kenyataan tersebut.

AirAsia berkata pesawat itu diisytiharkan selamat oleh pihak berkuasa.

“Semua penumpang yang menaiki pesawat itu, dikeluarkan dengan selamat,” kata syarikat penerbangan itu dan menambah penumpang yang menimbulkan gangguan itu ditahan pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

AirAsia berkata mereka akan membantu penumpang yang terjejas dengan sewajarnya.

Pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan berkata mereka dimaklumkan oleh syarikat penerbangan itu mengenai ancaman bom di dalam pesawat di klia2.

MAHB berkata mereka kini bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan itu dan semua pihak berkuasa yang berkaitan.

Ia berkata keadaan itu dikendalikan mengikut prosedur operasi standard ketika berdepan dengan situasi berkenaan.

“Setakat ini ia tidak menjejaskan operasi penerbangan bagi pesawat lain,” kata MAHB.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali ketika dihubungi berkata pesawat dengan 123 penumpang dan enam anak kapal itu berpatah balik ketika hendak berlepas kira-kira jam 7.45 pagi apabila seorang daripada penumpang menyebut perkataan bom dan didengari pramugara bertugas.

Beliau berkata, unit bom telah ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan terhadap pesawat dan kesemua begasi, namun tidak menemukan sebarang objek bom.

“Tiada sebarang objek, bungkusan, kotak yang disyaki mempunyai bom dijumpai dan hanya sebutan perkataan ‘ada bom kot’ oleh penumbang terbabit,” katanya.

Abdul Aziz berkata pesawat berkenaan dibenarkan beroperasi dan diserahkan kepada pihak AirAsia.

Beliau berkata penumpang lelaki berusia 76 tahun itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang bagi siasatan.

“Jangan sengaja bergurau menyebut perkataan yang berupa ancaman di lapangan terbang atau dalam pesawat kerana boleh diambil tindakan undang-undang,” kataAbdul Aziz. — Bernama

Advertisement