Anda di sini

UMNO belum terima surat dari anggota yang didakwa keluar parti di Sabah

Advertisement

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata beliau tidak ada menerima apa-apa surat rasmi mengenai anggota yang didakwa bertindak keluar daripada UMNO di Sabah.

Beliau berkata dakwaan yang dikeluarkan kepada media kononnya terdapat 1,500 anggota UMNO di Sabah keluar parti dan bilangan itu akan terus bertambah, cuma isu yang dibesar-besarkan.

“Ada yang tuduh, ada yang kata dengan akhbar ada orang nak keluar UMNO, sebagai Setiausaha Agung UMNO saya pun belum dapat surat yang mengatakan ada anggota nak keluar parti, bubar cawangan…ini semua isu yang digembar-gemburkan,” katanya apabila ditanya dakwaan bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal bahawa 1,500 anggota UMNO di Tenom keluar parti dan lebih ramai lagi akan keluar parti.

Tengku Adnan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Perbadanan Pembangunan Kampong Baru di padang Kampung Pindah, Kampung Baru, di sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata pemimpin akar umbi akan memastikan UMNO terus mantap pada masa hadapan dan memperjuangkan kepentingan rakyat.

“Kita bukan parti omong-omong kosong dan rakyat sedar, serta tahu bahawa UMNO sebagai tulang belakang Barisan Nasional akan memastikan bahawa kepen-tingan rakyat diutamakan,” katanya.

Menurut beliau, UMNO mampu menggalas cabaran dan menyelesaikan isu yang dilemparkan kepada parti meskipun itu merupakan fitnah. — Bernama

Advertisement