Anda di sini

CIDB berkas 32 buruh asing, seorang buruh tempatan tiada kad hijau

Advertisement
 Pendatang asing tanpa izin ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan CIDB Malaysia bersama Jabatan dan Agensi Kerajaan di Taman Bukit Emas, Kamunting semalam. — Gambar Bernama

DIBERKAS: Pendatang asing tanpa izin ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan CIDB Malaysia bersama Jabatan dan Agensi Kerajaan di Taman Bukit Emas, Kamunting semalam. — Gambar Bernama

TAIPING: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Perak memberkas 32 buruh asing lelaki dan seorang buruh tempatan lelaki yang tidak memiliki kad pendaftaran pekerja pembinaan atau kad hijau pada satu operasi bersepadu di sebuah tapak pembinaan di sini, semalam.

Pengarahnya, Ismail Mat Nor berkata kesemua mereka yang berumur dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun itu ditahan di sebuah tapak pembinaan di Jalan Taman Mas, Kamunting, di sini.

“Pekerja binaan mesti mempunyai kad hijau dan jika tiada mereka boleh didenda RM5,000 mengikut Seksyen 33(4) Akta 520 CIDB jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Operasi Penguatkuasaan Bersepadu CIDB Bersama Jabatan dan Agensi Kerajaan ke tapak pembinaan berkenaan di sini semalam.

Operasi yang bermula dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari yang diketuai CIDB itu membabitkan 86 penguat kuasa dari Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Akademi Binaan Malaysia dan Majlis Perbandaran Taiping.

Selain itu, Ismail berkata berdasarkan pemerhatian yang dijalankan, pihaknya mendapati subkontraktor di tapak berkenaan tidak berada di kawasan itu manakala pejabat tapak juga didapati tutup.

“Kami akan menghantar notis kepada pemaju terbabit bagi mendapatkan penjelasan dalam tempoh tujuh hari dan selepas itu tindakan undang-undang boleh diambil ke atas pemaju berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, Ismail berkata pihaknya mendapati tahap kesedaran kalangan kontraktor dalam industri pembinaan semakin meningkat berdasarkan tindakan penguatkuasaan ke atas tapak pembinaan didapati dipatuhi kontraktor.

Tambahnya, sepanjang tahun lepas, 269 pemeriksaan tapak bina, 269 pemeriksaan kontraktor, 4,560 pemeriksaan personel binaan, 308 penyelia tapak dan 1,230 pekerja mahir telah diperiksa di negeri ini berbanding 258 pemeriksaan tapak bina, 258 pemeriksaan kontraktor, 3,129 pemeriksaan personel binaan, 207 penyelia tapak dan 435 pekerja mahir pada tahun 2014.

Sementara itu, Timbalan Penolong Pengarah Kanan Jabatan Imigresen Perak Suhairie a/l Bah Ali berkata seramai 25 pekerja asing lelaki ditahan daripada 36 pekerja asing yang telah diperiksa di tapak berkenaan.

Menurut Suhairie, daripada jumlah itu, empat lelaki warga Indonesia ditahan mengikut Seksyen 15(1)C Akta Imigresen kerana didapati tinggal lebih masa.

“Tujuh belas warga asing lelaki melibatkan 11 warga Bangladesh, empat warga Indonesia dan dua warga Myanmar ditahan mengikut Seksyen 6(1)C, akta sama kerana kesalahan tiada pas sah tinggal di negara ini.

“Tiga lagi lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Myanmar pula ditahan mengikut Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan,” katanya.

Menurut beliau kesemua 25 yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Perak untuk tindakan selanjutnya. — Bernama

Advertisement