Anda di sini

SKM wujud peneraju sektor dalam koperasi jadikan ia lebih dinamik

Advertisement

RAUB: Peneraju sektor dalam kalangan koperasi akan diwujudkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk menjadikan sektor itu lebih dinamik dan berkembang lebih pesat sekali gus mampu mencapai sasaran nilai perolehan RM50 bilion setahun menjelang 2020.

Pengerusi Eksekutif SKM Dr Noor Zari Hamat berkata bagi tujuan itu SKM telah mengenal pasti koperasi yang berkeupayaan menerajui enam sektor tumpuan yang berimpak tinggi untuk diberi bimbingan dan garis panduan.

“Enam sektor ini digariskan di bawah EPP (Projek Titik Kemasukan) iaitu pemborongan dan peruncitan, kewangan dan kredit, kesihatan dan pelancongan, perladangan, industri asas tani dan hartanah.

“Kita sudah kenal pasti 30 koperasi bagi setiap sektor ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Hari Koperasi Negara 2016 peringkat negeri di sini, semalam.

Perasmian itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin.

Noor Zari berkata menerusi pendekatan itu SKM akan menganjurkan bengkel mengumpulkan koperasi besar terbabit untuk mengadakan perbincangan bersama bagi menghasilkan rangka tindakan enam sektor berkenaan dan apabila selesai enam rangka tindakan berkenaan akan diedarkan kepada semua koperasi lain.

“Setakat ini rangka tindakan untuk sektor pemborongan dan peruncitan koperasi bagi tempoh 2016 hingga 2020 sudah siap dan telah pun dilancarkan pada 28 Julai lepas,” katanya.

Beliau berkata sehubungan itu SKM kini dalam proses mengadakan bengkel lain untuk lima sektor lagi yang dijangkakan siap semuanya sehingga hujung tahun ini.

Katanya dengan pengwujudan peneraju sektor itu ia membolehkan koperasi bergerak secara bersama yang turut melibatkan entiti luar sekali gus berpeluang menjanakan ekonomi berimpak tinggi.

Sementara itu, Shahiruddin berkata sektor koperasi perlu memastikan dapat memberikan pulangan dividen sekurang-kurangnya RM1,000 kepada anggota dalam usaha menarik minat golongan muda menyertai perniagaan koperasi.

Beliau berkata oleh itu kepimpinan tertinggi koperasi perlu mentadbir dengan amanah dan lebih bijak menjana pendapatan dengan kreatif. — Bernama

Advertisement