Anda di sini

Senarai kelemahan prasarana sekolah, kata Len

Advertisement

Oleh Clare Cinderella//

 Len melakukan perasmian Karnival KSK Daerah Miri dengan sentuhan akhir pada kek yang disediakan pelajar bidang kulinari sambil disaksikan (dari kiri) Majenah, Dennis dan Dr Hassan di Miri semalam.

RASMI: Len melakukan perasmian Karnival KSK Daerah Miri dengan sentuhan akhir pada kek yang disediakan pelajar bidang kulinari sambil disaksikan (dari kiri) Majenah, Dennis dan Dr Hassan di Miri semalam.

MIRI: Pengetua sekolah di negeri ini perlu menyenaraikan kelemahan prasarana di sekolah masing-masing sama ada perlu diperbaiki atau ditambah baik demi keperluan pelajar.

Menurut Menteri Muda Pembangunan Tenaga Kerja dan Latihan Datu Len Talif Salleh, hanya pengetua sekolah sahaja tahu apakah kekurangan di sekolahnya dan menjadi tanggungjawab mereka melaporkan kekurangan dan kelemahan itu.

“Tiada siapa lebih tahu mengenai apa yang kurang dalam prasarana sekolahnya selain pengetua, bukan ibu bapa, bukan pegawai pendidikan atau wakil rakyat.

“Saya mahu pengetua-pengetua sekolah bersikap lebih proaktif dan menyenaraikan segala kekurangan prasarana di sekolah mereka, mana-mana perlu diperbaiki dan ditambah baik serta menyerahkan senarai kepada wakil-wakil rakyat di kawasan mereka untuk dikemukakan kepada kementerian dan tindakan sewajarnya,” katanya.

Menteri Muda Alam Sekitar itu berkata perkara itu adalah satu daripada tiga penekanan bidang pendidikan dihasratkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan amat disokong beliau demi menjamin pembangunan sumber manusia dan tenaga kerja berkualiti di negeri ini dari peringkat sekolah.

Dua lagi perkara turut diberi penekanan dalam pendidikan iaitu polisi pendidikan dengan tidak menukar menteri pendidikan dengan kerap bagi mengelak sistem pendidikan berubah-ubah dan tidak tetap serta ketiga memperkenal sistem pendidikan dwibahasa dengan memberi penekanan kepada bahasa Inggeris.

“Ketua Menteri amat menyedari pentingnya peranan bahasa Inggeris dalam pendidikan dan ilmu pengetahuan seterusnya dalam kerjaya dan mahu penguasaan bahasa Inggeris ditekankan di peringkat sekolah seawal tingkatan satu,” katanya ketika merasmikan Karnival Kemahiran Sinar Kecemerlangan (KSK) Peringkat Daerah di Dewan Suarah Miri, semalam.

Len memberitahu, Sarawak memerlukan kira-kira 1.3 juta tenaga kerja untuk memacu pembangunan industri negeri ini, justeru Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) amat penting dalam pembangunan tenaga kerja.

“TVET penting kerana Sarawak memerlukan 1.3 juta tenaga mahir memacu pembangunan industrinya dan Sarawak dijangka menjadi sebuah negeri termaju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.

Menurut beliau, TVET bukan hanya untuk pelajar kurang berminat atau tidak cemerlang akademik sebaliknya pelajar berkemahiran tinggi dapat memasuki universiti meskipun mengambil TVET dan banyak bukti pelajar lemah dalam SPM berjaya merangkul ijazah PhD dan kedoktoran dalam bidang teknikal.

“Di negara-negara maju seperti Jerman, Britain, Jepun, Korea Selatan dan Singapura, pelajar-pelajar bijak turut mengambil bidang TVET kerana mereka mahu bekerja.

“Di Jerman, kira-kira 65 peratus pelajar lepasan sekolah menengah mengikuti bidang TVET setiap tahun dan hasilnya Jerman menjadi sebuah negara terkaya dan paling stabil di Eropah,” tambah beliau.

Sehubungan itu, beliau amat menyokong usaha penganjuran karnival KSK seperti ini kerana ia dapat membentuk jalinan kerjasama dan pendedahan lebih luas kepada pelbagai bidang kemahiran yang diperlukan.

Len turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usaha samaantara lima institut pendidikan dan kemahiran di sini bersama Pejabat Pendidikan Daerah Miri.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau, Pegawai Pendidikan Daerah Miri Dr Hassan Hasbollah serta Timbalan Residen Bahagian Miri Majenah Lass.

 

Advertisement