Anda di sini

MPP masih belum terima senarai rasmi kaunselornya

Advertisement

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) sehingga semalam masih belum menerima senarai rasmi barisan kaunselor untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Pengerusinya Lo Khere Chiang yang dihubungi semalam berkata senarai penuh itu yang dikeluarkan Kementerian Kerajaan tempatan sepatutnya sudah diagihkan kepada semua PBT kerana senarai sudahpun dimuktamadkan 18 Julai lepas.

Malah katanya, beliau ada terbaca laporan akhbar memetik menteri bertanggungjawab sebagai berkata majlis angkat sumpah mula didakan pada 21 Julai lepas, dimulakan oleh Majlis Bandaraya Miri.

“Setakat jam 5 petang tadi (ini) setiausaha MPP masih belum menerima senarai rasmi kaunselor-kaunselor MPP. Saya difahamkan lebih 50 peratus adalah muka baharu.

“Namun saya hanya boleh sahkan apabila menerima senarai rasmi nanti,” katanya sambil menambah, ahli-ahli majlis MPP akan diumumkan sebaik senarai rasmi diterima.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk James Chan turut menyatakan bahawa pihaknya masih menunggu pengumuman rasmi daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengenai barisan ahli majlisnya.

“Jika semuanya berjalan dengan lancar, kami sepatutnya bersiap sedia untuk majlis angkat sumpah barisan kaunselor yang baharu dalam waktu terdekat ini.

“Namun saya tegaskan di sini, sebarang kenyataan untuk diumumkan seharusnya dilakukan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan,” ujarnya ringkas.

Pada 18 Julai lepas, Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian dalam satu kenyataan akhbarnya berkata seramai 700 ahli majlis dilantik dan daripada jumlah itu 66 peratus adalah muka baharu.

Senarai barisan kaunselor yang dipilih oleh Jawatankuasa Kabinet dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas melibatkan 24 majlis tempatan di seluruh Sarawak.

Tambah Dr Sim lagi, pelantikan ahli-ahli majlis itu akan dilakukan dalam tempoh beberapa minggu selepas kenyataan akhbar itu dikeluarkan.

 

Advertisement